Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS tolak Akta Perbadanan Kg Baru
Diterbitkan:  Oct 7, 2011 1:07 PM
Dikemaskini: 7:32 AM

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM) menolak Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2011 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat Rabu lalu.

DPMM juga mendakwa penduduk Kampung Baru turut menolak akta tersebut kerana tidak mendapat mandat sepenuhnya dari pemilik dan pewaris tanah di Kampung berkenaan.

NONE Ketua Penerangan DPMM, Riduan Mohd Nor mendakwa ia langkah terdesak sebelum pilihanraya umum, bagi memastikan pihak kerajaan dapat menguasai tanah penduduk di situ.

Katanya, walaupun melalui Akta ini, status tanah di Kampung Baru bertukar dari Pertanian kepada tanah Pusat Bandaraya Komersial (CCC), namun dakwanya, penduduk terikat kepada kuasa pentadbiran pihak Perbadanan.

"...dan situasinya nanti pasti sama seperti di Putrajaya di mana pemilik tanah tidak boleh melakukan pembangunan sesuka hati," dakwa Riduan dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, dakwanya lagi, melalui akta tersebut, pihak Perbadanan mempunyai kuasa merampas mana-mana tanah dengan membayar gantirugi yang nilainya ditentukan oleh oleh pihak lembaga yang dilantik oleh Menteri.

"Menteri secara keseluruhan mempunyai pengaruh dan kuasa yang besar terhadap Perbadanan yang bakal ditubuhkan.

NONE "Beliaulah yang akan memilih dan melantik ahli-ahli lembaga dan secara tidak langsung boleh mempengaruhi sebarang keputusan lembaga termasuk dalam pemilihan syarikat kontraktor yang akan melakukan pembangunan di Kampung Baru," dakwanya lagi.

Apa yang paling dirisaukan oleh penduduk, dakwa Riduan, ialah bentuk pembangunan yang ingin dijalankan oleh pihak Perbadanan kerana sehingga ke hari ini pihak menteri masih gagal memberikan rekabentuk pelan pembangunan sebenar.

"Bila ditanya wartawan baru-baru ini, beliau hanya menyatakan pembangunan Kampung Baru akan mengekalkan ciri-ciri ke-Melayuan dan ke-Islaman.

"Tidak mustahil yang kekal nanti hanyalah beberapa rumah asal penduduk yang dijadikan tempat pelancongan dan Masjid Kampung Baru sahaja, sedangkan rumah lain dan premis perniagaan akan diroboh dan digantikan dengan kondominum mewah serta lot-lot perniagaan bernilai tinggi untuk dijual kepada pelabur asing dari luar negara.

NONE "Lihat sahaja kawasan di sekeliling KLCC yang telah dibangunkan dengan unit-unit kondominium mewah yang majoritinya dimiliki dan dihuni oleh bukan warganegara. Warga tempatan  khususnya orang Melayu di pindahkan ke kawasan pinggiran Pusat Bandar," dakwanya lagi.

DPPM juga, tambahnya, melihat pindaan kecil terhadap senarai ahli lembaga Perbadanan dengan melantik seorang wakil penduduk Kampung baru sebagai timbalan pengerusi sebagai gimik politik.

Beliau mendakwa, ini kerana yang bakal dilantik nanti sudah pastilah kalangan orang Umno yang menjadi penyokong menteri.

"Kalau pun penduduk diberikan hak memilih wakil mereka untuk duduk dikerusi ini, tetapi kuasa dan suara hanya terhad sedangkan majoriti korum lembaga adalah orang yang dikuasai dan dilantik oleh menteri," dakwanya.

Oleh itu DPPM akan terus bersama penduduk menolak Akta baru ini dan dari semasa ke semasa akan bersama penduduk mempertahankan hak mereka.

ADS