Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Graduan ISMP terperangkap dengan pengangguran
Diterbitkan:  Oct 7, 2011 11:22 AM
Dikemaskini: 5:02 AM

Ribuan graduan ijazah sarjana muda pendidikan (ISMP) kini seolah-olah terperangkap dalam dunia pengangguran apabila gagal ditempatkan sebagai guru dan dalam masa sama sukar diterima di sektor swasta.

Penyelaras Gabungan Graduan ISMP Malaysia (GGIM) Abdul Rahman Usman ( bawah ) berkata, masalah itu berpunca daripada penempatan mereka sebagai Guru Sandaran Terlatih (GST) masih belum diumumkan.

penyelaras gabungan draduan ismo malaysia ggim  abdul rahman usman Katanya, graduan ISMP mempunyai latihan khusus dalam pendidikan yang menjadikan meerka sukar diterima di pasaran kerja dan tiada pilihan selain menjadi guru.

"Buktinya ramai Graduan ISMP di tolak mentah-mentah oleh majikan swasta atas alasan tidak kekal lama dan akan mengambil hak graduan bidang lain," kata Abdul Rahman.

Menurutnya, penempatan kedua mereka sehingga kini masih menjadi persoalan setelah hanya satu penempatan diumumkan bagi tempoh Disember 2010 sehingga awal Oktober tahun ini.

Pengumumkan itu bagi graduan yang mengisi borang e-GST pada Disember tahun lalu.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini , Abdul Rahman menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang "membekukan" perjawatan guru GST - tetapi membuka penempatan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) dan Kursus Pendidikan Lepasan Ijazah (KPLI).

Acuh tak acuh

Daripada maklum balas yang diterimanya juga, GGIM mendakwa hanya graduan lepasan institut pendidikan guru dan ISMP dari institus pengajian tinggi awam sahaja layak berkhidmat.

"Melihat dari sudut ini, di manakah keadilan untuk graduan dan mahasiswa IPTS (institut pengajian tinggi swasta) dalam bidang pendidikan," katanya lagi,

Selaras dengan kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Puad Zarkashi Julai lalu bahawa 13,000 GSTT diserap kepada guru berjawatan, Abdul Rahman juga menimbulkan persoalan sama ada ia bermaksud pengambilan kedua GST akan dibekukan.

"Pihak GGIM melihat pihak kerajaan tidak dapat merealisasikan perancangan mensifarkan GSTT semasa perlaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang sudah pun berlalu, di mana isu GSTT masih berlarutan hingga kini dan menimbulkan banyak kecelaruan dalam penempatan GST," katanya.

Abdul Rahman juga menyelar tindakan KPM yang didakwanya tidak dapat memberitahu tarikh tepat borang penempatan dikeluarkan dan sering menasihatkan graduan terlibat selalu menyemaknya di laman web.

"Bagi pihak GGIM, ini bukanlah jawapan yang positif dan bersifat umum serta satu bentuk alasan yang boleh digelarkan sebagai acuh tak acuh," katanya.

"Dengan ini, pihak GGIM menuntut agar Menteri Pelajaran Malaysia iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat satu kenyataan rasmi berhubung penempatan GST secara khusus dari segi masa dan jumlah penempatan yang akan di buat seperti mana yang di buat oleh timbalannya."

GGIM ditubuhkan pada September 2011 ekoran masalah penempatan tersebut. NGO itu dianggotai 3,600 daripada 7,000 graduan pendidikan seluruh negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS