Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MTUC gesa pembekuan kemasukan pekerja asing
Diterbitkan:  Oct 5, 2011 4:34 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan agar membekukan kemasukan pekerja asing ke negara ini secara serta-merta bagi menyelesaikan isu 1.3 juta pekerja asing tanpa izin sedia ada.

Naib Presidennya, A Balasubramaniam, berkata kerajaan harus melihat perkara itu secara serius kerana isu berkenaan membawa kesan besar kepada rakyat tempatan.

"Kita takut memandangkan begitu ramai buruh asing yang murah, orang tempatan akan diketepikan kerana majikan memilih mereka," katanya di Petaling Jaya hari ini.

azlan Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam bahawa terdapat 1.3 juta pekerja asing tanpa izin yang berkerja dalam sektor tidak dibenarkan mendaftar dalam Program 6P yang membabitkan pendaftaran dan pemutihan pendatang asing di negara ini.

Hishammuddin turut dilapor berkata kebanyakan warga asing terbabit bekerja di bengkel kenderaan, restoran makanan segera, restoran dan juga gerai makanan.

Balasubramaniam mencadangkan agar Kementerian Sumber Manusia mengadakan perbincangan tiga pihak bagi mendapatkan bantuan dan idea daripada pihak berkepentingan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Beliau juga meminta kerajaan meningkatkan penguatkuasaan bagi mengesan golongan pekerja asing tanpa izin yang bekerja dalam sektor tidak dibenarkan.

 - Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS