Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim menempelak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana menuduhnya berbohong dan membuat tuduhan palsu berhubung isu bahasa Melayu di negeri itu dipinggirkan.
"Tiada sebab kenapa Lim Guan Eng mengatakan bahawa saya 'berbohong' macam Utusan. Para penyampai (Kolej) Han Chiang malam itu tidak menggunakan sepatah pun bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” kata Rais menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia .
Lim dalam satu kenyataan media, semalam mengingatkan Rais bahawa Kolej Han Chiang merupakan kolej swasta dan program tersebut dianjurkan oleh Han Chiang dan bukannya kerajaan negeri.
Beliau juga mencabar menteri dari Umno itu bagi membuktikan mana satu program rasmi kerajaan negeri Pulau Pinang yang dihadirinya meminggirkan bahasa kebangsaan itu.
Katanya, jika Rais tidak berpuas hati dengan program yang dianjurkan oleh kolej berkenaan, beliau sepatutnya menyampaikan rasa tidak puas hatinya kepada penganjur.
Bagaimanpun Rais tetap mempersalahkan Lim dan berkata ketua menteri itu sepatutnya menasihatkan pengurusan kolej di negeri itu yang dibantu kerajaan penubuhannya, supaya menggunakan bahasa Melayu dalam majlis rasminya.
"Guan Eng sepatutnya menasihatkan konco-konconya di institusi itu supaya menghormati bahasa kebangsaan," kata Rais dipetik oleh Utusan Malaysia .
Isnin lalu, Rais mendakwa bahasa kebangsaan tidak dinobatkan di Pulau Pinang selepas dua tahun negeri itu dikuasai oleh DAP.
Dakwanya, ini jelas terbukti apabila dalam satu majlis rasmi yang beliau hadiri, penganjur hanya bercakap dalam bahasa Cina dan Inggeris.
Kolej Han Chiang adalah institusi swasta yang diasakan oleh pemimpin masyarakat Cina apada tahun 1999.