Seperti dijadualkan, saksi misteri yang menjadi tanda tanya pada perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya tampil.
Mohd Najwan Halimi dipanggil pada jam 11.22 pagi ketika mahkamah bersambung semula selepas rehat sebentar.
Najwan merupakan bekas rakan sekolej penga du Mohd Saiful Bukhari Azlan dan kini menjadi pembantu Anwar untuk tugasnya sebagai penasihat ekonomi Selangor.
Dalam keterangannya, Najwan memberitahu, beliau mengenali Saiful sejak 2003 apabila tinggal berdekatan bilik pengadu semasa menuntut di Universiti Tenaga Nasional.
"Saiful mahasiswa yang aktif dan mempunyai kualiti kepimpinan. Saya dan Saiful terlibat dalam program Baktisiswa.
"Dia ada kepimpinan tetapi suka publisiti," katanya.
Katanya, program itu dilancarkan oleh bekas menteri dalam negeri Tan Sri Syed Hamid Albar dan Saiful ketika itu timbalan presiden program dan setiausaha Majlis Pimpinan Pelajar.
Najwan berkata, beliau melihat laman sosial Friendster milik Saiful dan melihat banyak gambarnya dengan pemimpin BN, termasuk Syed Hamid Albar, Mustapa Mohamed dan Azalina Said Othman.
"Pada 2008, Saiful meletakkan dirinya sebagai penyokong BN dan menyisytiharkan bahawa Anwar munafik.
Najwan berkata beliau melihat Saiful di ceramah politik dan pengadu berkempen untuk BN pada 2008. Saksi bagaimanapun menafikan Saiful mengidola Anwar seperti dalam pengakuannya.
"Dia benci Anwar," kata Najwan.
Ketika disoal balas oleh Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, Najwan menjelaskan beliau pernah berkhidmat dengan ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad dan dengan Kementerian Pengangkutan dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum itu.
Najwan bersetuju dengan cadangan Yusof bahawa tidak pelik untuk menunjukkan gambar dengan menteri tetapi tidak bersetuju bahawa apa yang dikatakannya tentang Saiful sebagai spekulasi.
Mahkamah kemudian ditangguhkan sehingga Khamis ini.
Sementara itu, Bernama melaporkan bekas rakan universiti Mohd Saiful Bukhari Azlan memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa lelaki itu tidak pernah menyanjung Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika menuntut di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Saksi pembelaan keenam, Mohd Najwan Ali, 26, yang mengikuti pengajiannya di UNITEN bersama Mohd Saiful dari tahun 2003 hingga 2008 berkata sepanjang pergaulan mereka, Mohd Saiful tidak pernah menjadikan Anwar sebagai idolanya.
Malah Mohd Saiful yang juga pengadu dalam kes liwat membabitkan Anwar, dalam laman sosialnya (friendster) telah memuat turun gambar Anwar dengan meletakkan kapsyen 'Anwar pemimpin munafik'.
Sebelum ini, Mohd Saiful, 26, yang juga saksi utama dalam perbicaraan kes liwat itu, dalam keterangannya berkata Anwar adalah pemimpin idolanya yang diminatinya sejak kecil lagi.
Anwar, 64, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos, 2008, terhadap pertuduhan melakukan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.
Semasa pemeriksaan utama oleh peguam SN Nair yang mewakili Anwar, saksi itu juga terkejut apabila Mohd Saiful memberitahunya ketika bertemu pada satu ceramah politik pada penghujung Februari 2008, bahawa beliau bekerja dengan Anwar.
Beliau juga berkata, Mohd Saiful dalam laman sosialnya ada bergambar dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) iaitu Tan Sri Syed Hamid Albar, Datuk Mustapha Mohamed dan Datuk Azalina Said serta Datuk Khairul Anaz Jusoh, pegawai khas kepada Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.
"Saya merasakan Mohd Saiful tidak layak menjadi pembantu Anwar, kerana kandungan laman sosialnya masih menyokong dan bersimpati dengan perjuangan politik BN, di mana beliau masih mengekalkan gambar-gambar yang diambil dengan pemimpin-pemimpin tertinggi BN," katanya.
Mohd Najwan juga berkata, beliau ada menghantar e-mel kepada Anwar untuk menarik perhatian pemimpin itu bahawa rakannya tidak layak menjadi pembantunya kerana dia lebih menyokong pemimpin BN.
Beliau yang kini bertugas sebagai pegawai di Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor berkata, Mohd Saiful walaupun tegas ketika menjadi Timbalan Presiden Perwakilan semasa menuntut di UNITEN, lebih menonjolkan sikap "gila publisiti dan perhatian."
Ketika pemeriksaan balas oleh Peguam Cara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang mewakili pendakwaan, Mohd Najwan bersetuju bahawa adalah tidak pelik untuk seseorang meletakkan gambar pemimpin ataupun logo parti yang disokong oleh mereka.
Mohamed Yusof:
Adakah menghairankan jika Mohd Saiful sebagai pemimpin pelajar mengambil gambar bersama pemimpin? Pelik ke?Mohd Najwan: Tidak ada masalah dan tidak menghairankan.
Mohamed Yusof: Kamu kata semasa perbualan bersama Mohd Saiful, dia tidak memandang tinggi kepada Anwar?
Mohd Najwan: Beliau kata memang tidak percaya Anwar.
Mohamed Yusof: Kapsyen yang merujuk Anwar sebagai 'pemimpin munafik', adakah Mohd Saiful yang meletakkannya?
Mohd Najwan: Saya percaya Mohd Saiful yang buat.
Mohamed Yusof:
Apa awak rasa bila di akhir Februari 2008 Mohd Saiful bekerja dengan Anwar?
Mohd Najwan:
Saya percaya dia tidak layak dan tidak 'fit' kerja dengan Anwar.