Isu pelaksanaan hukum hudud sebenarnya bukanlah isu politik tetapi adalah tuntutan agama untuk umat Islam.
Justeru, menurut ketua penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man beliau berharap tidak ada pihak yang akan cuba mengenakan kekangan dan campur tangan untuk mengutuk dan menghalang umat Islam dalam menghayati keperluan wajib agama mereka.
Katanya, golongan yang tidak mengerti mengenai perundangan Islam dan bukan ahlinya juga tidak sepatutnya membuat komen yang bertentangan dengan realiti perundangan Islam itu.
“Sehubungan itu, di atas sifat saling hormat-menghormati dan toleransi beragama, golongan bukan Islam boleh tidak menyokong hudud, akan tetapi janganlah seperti MCA yang menuduh liar bahawa hukum hudud ini menghalang kebebasan beragama dan hak asasi individu,” katanya dalam satu kenyataan media.
Kepada yang tidak menyokong perundangan Islam, kata Tuan Ibrahim boleh terus tidak menyokong, namun menurutnya adalah amat tidak adil sekiranya golongan itu menyeru umat Islam melupakan hasrat mereka selama-lamanya.
Jangan campur urusan agama lain
“Dalam konteks demokrasi negara, tugas melaksanakan syariat Allah kini bergantung pada keinginan – bak kata, nak seribu daya, tidak nak seribu alasan.
"Antara PAS dan Umno, umat Islam kini boleh melihat dengan jelas siapa yang seribu daya, dan siapa yang mempunyai seribu alasan dalam melaksanakan dan menerangkan syariat Allah secara dakwah kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Menurut Tuan Ibrahim, Islam tidak pernah menyekat kebebasan agama lain, mahupun amalan serta penghayatan agama berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menempelak resolusi persidangan MCA yang menyatakan hukum hudud yang dicadang dilaksanakan di Kelanatanakan menghalang kebebasan beragama dan hak asasi individu.
“Kejahilan ini mencerminkan kepada rakyat betapa MCA yang menjadi komponen penting dalam BN selepas Umno, gagal menjaga perasaan umat Islam, sehingga meluluskan satu resolusi yang memalukan tentang Islam.
"Tidak timbul soal Islam menyekat kebebasan agama lain, atau menyekat amalan dan penghayatan agama lain,” katanya.
Menurut beliau, tindakan itu menunjukkan tahap kelemahan yang sangat ketara khususnya dari sudut maklumat dan pengetahuan asas tentang Islam dalam Umno dan BN.
Kewajipan Islam
Pada Ahad lalu, persidangan mesyuarat agung MCA meluluskan satu resolusi menolak pelaksanaan hukum hudud.
Alasan parti Cina itu, hukum hudud, bukan sahaja bercanggah dengan rukun asas perlembagaan persekutuan, tetapi didakwa menghalang kebebasan beragama dan hak asasi individu.
“Jangan kelirukan lagi benda yang suci yang diturunkan Allah ini. Lihatlah MCA, umat Islam boleh menilai sendiri kesan pemerintahan Umno terhadap nama baik Islam,” katanya.
Tuan Ibrahim juga berkata PAS melihat suasana saling hormat-menghormati, memahami dan tidak mencampuri urusan agama lain perlu dikekalkan demi keharmonian negara.
Tambah beliau, rakyat Malaysia mesti memahami bahawa di sisi umat Islam melaksanakan perundangan Islam adalah sebahagian dari ajaran Islam yang mesti dilaksanakan, sebagaimana kewajipan sembahyang, puasa dan lain-lainnya.
“Perundangan Islam bersifat kawalan dan pencegahan agar masyarakat selamat dari anasir yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat dan negara, di samping menjamin keselamatan nyawa, harta benda, maruah manusia, akal dan agama.
Maqasid syariah
"Ia juga merupakan tujuan utama syariah Allah diturunkan. Kerana itu, melaksanakan peraturan Islam adalah tuntutan maqasid syariah, bukan sebalik sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian golongan yang kurang arif tentang Islam,” katanya.
Menurut beliau lagi “Enakmen Jenayah Syariah Kelantan (1993) dan Terengganu (2003) yang telah diluluskan dalam kedua-dua Dewan Undangan Negeri harus diterima” kerana “ia telah melalui proses sistem demokrasi yang diperakui oleh perlembagaan negara.”
“Kedua-dua enakmen ini hanya dikenakan kepada orang Islam sahaja, Manakala golongan bukan Islam dikecualikan dari perundangan syarak kerana mereka bukan Islam,” katanya.
PAS, katanya juga mengharapkan pakar perundangan dan mereka yang berautoriti dari sudut syarak seperti para mufti, alim ulamak dan lainnya supaya tampil memberikan pandangan mereka, agar membantu masyarakat memahami sistem perundangan Islam ini.