Permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, untuk mengketepikan sepina yang mahu mereka tampil memberi keterangan dalam perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai saksi pembelaan akan diputuskan pada Khamis ini.
Sehubungan itu, hakim Makamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah juga mengarahkan perbicaraan kes liwat II itu bersambung esok.
Pada perbicaraan hari ini, peguambela utama Karpal Singh berkata sepina itu bertujuan mendapatkan penjelasan berhubung mesyuarat pada 24 Jun 2008, berikutan satu pertemuan yang diaturkan oleh pembantu Najib, Datuk Khairil Annas dengan pengadu kes itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Menurut Karpal, semestinya perdana menteri membincangkan pelbagai perkara dalam tempoh setengah jam hingga satu jam pertemuan itu.
Katanya, adalah pelik bagi Saiful tidak melaporkan dakwaan kejadian liwat itu kepada pihak polis tetapi memilih untuk berjumpa dengan Najib.
"Bantuannya (Najib) diperlukan. Keterangannya penting kerana sebagai orang Islam, beliau pergi ke Permatang Pauh pada Ogos 2008 dan menafikan beliau ada kena mengena dengan kematian (warga Mongolia) Altantuya (Shaariibuu)."
Sementara itu, menurut Karpal lagi, pertemuan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dengan rakan Saiful, Mohd Rahimi Osman, penting bagi membela Anwar.
Katanya, pegawai penyiasat DSP Jude Blacious Pereira juga telah merakamkan kenyataan daripada Rosmah.
"Ini tidak dinafikan oleh Rosmah."
Karpal berkata terdapat 112 kenyataan yang ditandakan sebagai dokumen istimewa dan pihak pembelaan tidak mempunyai akses terhadapnya.
"Justeru, Rosmah mesti tampil ke mahkamah kerana itu sahaja peluang yang tinggal bagi Anwar.”
"Kami berdoa Yang Arif menolak permohonan yang dibuat oleh Najib dan isterinya,” kata Karpal sambil menambah perdana menteri juga telah menimbulkan bukti lain pada pertemuan tersebut.
Sementara itu, berdasarkan penghujahan yang dibacakan di hadapan hakim Datuk Zabidin Mohd Diah, peguam pasangan itu, Hisyam Teh Poh Teik berkata saksi yang dipanggil harus mempunyai maklumat yang relevan.
Dalam kes ini, menurut beliau keterangan yang akan diberikan perdana menteri dan isteri sekiranya menjadi saksi tidak akan membantu perbicaraan.
"Persoalan sama ada mereka boleh beri maklumat yang relevan dan bukan disebabkan pendakwaraya menawarkan mereka sebagai saksi.
"Pada pandangan saya, mana-mana pihak tidak ada hak secara automatik untuk memanggil seseorang sebagai saksi. Ia adalah bidang kuasa mahkamah untuk menentukan saksi yang dicadangkan adalah relevan sebelum memberikan bukti. Ini bagi memastikan bukti maklumat tidak menyimpang daripada isu perbicaraan," kata Hisyam.