Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Utusan buat laporan polis ke atas Namewee
Diterbitkan:  Oct 2, 2011 4:36 PM
Dikemaskini: 8:43 AM

Jabatan Pengarang Utusan Malaysia membuat dua laporan polis ke atas penyanyi rap Namewee berhubung bidasannya terhadap akhbar milik Umno itu dan wartawannya Fauziah Arof kerana mengkritik filem terbarunya 'Nasi Lemak 2,0'.

NONE Menurut laporan Utusan 1 bertarikh 1 Oktober lalu, Namewee “menyalahguna kemudahan multimedia untuk menjatuhkan imej akhbar berkenaan  serta mengeluarkan tuduhan melampau terhadap penulisan artikel Bukan Nasi Lemak 2.0, soalnya Namewee...” yang disiarkan pada bulan lalu.

Dalam artikel itu, Fauziah menulis bahawa walaupun ramai yang memuji filem berkenaan, namun dia tidak berminat menontonnya walaupun ditawarkan tiket percuma.

Dia kemudian mengimbas kembali beberapa klip video yang diterbit oleh Namewee, yang dakwanya telah menyinggung orang ramai serta menghina umat Islam di negara ini, termasuk klip kontroversi Negarakuku.

Namewee, yang nama sebenarnya ialah Wee Chee Meng, kemudiannya membalas dengan memuat-naik satu klip video dalam bahasa pasar yang berjudul 'Namewee Fxxx Utusan'.

NONE Video itu memaparkan kekecewaan Namewee yang 'menghentam' akhbar itu dan Fauziah.

Hujahnya, semua lagu-lagu yang digubahnya itu adalah bersifat patriotik dan mempersoalkan sama ada Fauziah memahami lirik berkenaan.

“Lu tak faham, lu cakap saya dulu buat apa xxx... Saya kutuk siapa? Dulu saya kutuk siapa?

“Saya panggil orang jangan jadi orang yang perkauman. Saya panggil orang kerja betul-betul. Saya sokong 1Malaysia tak boleh ah?”

Namewee kemudian melabel Fauziah sebagai 'tidak berotak' kerana menulis artikel berkenaan tanpa menonton filem itu terlebih dahulu, yang katanya, jelas tidak mencerminkan sikap profesional untuk seorang wartawan.

Menurut Penasihat Undang-undang, Jabatan Pengarang Kumpulan Utusan, Mohd. Jefri Daman, penerbitan klip video berdurasi dua minit 43 saat itu telah mengundang komen-komen negatif orang ramai terhadap akhbar dan wartawan berkenaan.

"Tindakan Namewee itu dilihat merendahkan martabat wartawan dan akhbar Utusan Malaysia sebagai rasis, bodoh, menjatuhkan imej syarikat dengan tuduhan melampau serta menggunakan bahasa lucah," katanya dipetik Utusan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS