PERKASA hari ini mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa tertinggi ditubuhkan untuk membuat keputusan mengenai penahanan tanpa bicara terhadap individu yang dipercayai menjadi ancaman kepada keselamatan negara.
Presidennya, Ibrahim Ali berkata dengan pemansuhan Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA), maka satu mekanisme perlu disediakan untuk membolehkan keputusan pantas dibuat berhubung perintah tahanan.
Katanya, proses mahkamah akan mengambil masa yang panjang dan oleh itu lebih baik mempunyai jawatankuasa seumpama itu untuk membuat keputusan pantas sama ada seseorang individu itu perlu ditahan atau tidak.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai 25 anggota PERKASA mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Ali di Putrajaya, hari ini.
Ibrahim berkata jawatankuasa itu hendaklah dianggotai ketua polis negara, peguam negara dan personaliti terkemuka serta wakil kumpulan berkepentingan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menjelaskan bahawa jawatankuasa tersebut juga dapat mengawal kuasa yang diberikan kepada menteri dalam negeri di bawah kedua-dua undang-undang baru yang dicadangkan untuk menggantikan ISA, di samping mempercepatkan proses penyelesaian kes.
Katanya, terserahlah kepada jawatankuasa tersebut untuk menentukan mahu menteri dalam negeri berada dalam jawatankuasa tersebut.
Pokoknya, tegas Ibrahim, menteri hanya mesti membuat keputusan berhubung penahanan tanpa bicara berdasarkan keputusan jawatankuasa berkenaan.
Menurut Ibrahim, adalah penting bagi ketua polis negara menganggotai jawatankuasa tersebut kerana pasukan polis merupakan rujukan terbaik dalam bidang keselamatan negara.
Katanya, beliau tidak fikir, perdana menteri sendiri mahir sepenuhnya mengenai isu-isu keselamatan negara.
Polislah, tambahnya, yang tahu bagaimana untuk menangani keselamatan dalam negeri.