Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim berkata klip video "Undilah" tidak sesuai ditayangkan kerana ia mengandungi babak yang tidak disenangi segolongan masyarakat.
"Klip video itu juga mengandungi iktibar yang tersirat yang mengelirukan beberapa pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni bagi kawasan Parlimen Pasir Salak di Kampung Gajah hari ini.
Katanya penarikan semula penyiaran klip video 'Undilah' sebelum ini dibuat kerana ia tidak mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem.
"LPF bukan terletak di bawah tanggungjawab kementerian saya sebaliknya terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri yang akan menentukan kedudukan penayangan klip video itu sama ada boleh ditayangkan atau tidak,"katanya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebelum ini menyatakan klip video "Undilah" belum mendapat kelulusan LPF untuk siaran, dan oleh itu, ia tidak sepatutnya disiarkan menerusi televisyen.
Mengenai program merakyatkan seni, Rais berkata tujuannya untuk memberi peringatan kepada orang Melayu agar tidak lupa akar umbi budaya, seni dan bahasa dalam konteks membina negara.
"Kaum-kaum lain pula cuba berazam mengekalkan budaya mereka sementara orang Melayu mengetepikan soal perpecahan menerusi siasah dan bersatu di bawah panji-panji seni budaya kita,"katanya.
Rais berkata 180 program Merakyatkan sSni yang diadakan setiap tahun akan diselitkan dengan pengertian 1Malaysia dan penterjemahan transformasi kerajaan ke arah pembaharuan yang positif.
- Bernama