Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa 65 sampel tanah yang diambil dari Ladang Gadong, Banting, yang dipercayai menjadi lokasi pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, diuji positif mengandungi darah.
Timbalan Ketua Makmal Forensik, Polis Diraja Malaysia ACP Hussin Omar Khan, 41, berkata kesemua sampel tanah itu diambil ketika pasukannya yang dibantu oleh pegawai dari Jabatan Mineral dan Geosains membuat penggalian di ladang itu pada 9 dan 10 Oktober tahun lepas.
Beliau berkata 16 sampel tanah yang diuji positif dengan kehadiran darah diambil pada 9 Okt manakala 49 sampel tanah yang juga diuji positif dengan kehadiran darah diambil pada 10 Oktober 2010.
"Bagi sampel-sampel tanah tersebut, setiap 10 sentimeter lapisan tanah telah diuji untuk mengesan kehadiran darah menggunakan 'hemocculet sensor card' yang boleh beri hasil ujian segera.
"Kad akan bertukar warna dari putih kepada hijau atau biru bagi menunjukkan ada kesan darah, dan sampel tanah yang diuji positif wujudnya kesan darah telah dibungkus dan dihantar untuk ujian lanjut di Jabatan Kimia," katanya sewaktu pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani.
Hussin, saksi ke-51 pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes bekas peguam, N.Pathmanabhan, 41, dan tiga pekerja ladang T.Thilaiyalagan, 19, R.Matan, 20, dan R.Khatavarayan, 30, yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Ketika disoal balas peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan, pegawai polis itu bersetuju bahawa ujian dilakukan oleh Jabatan Kimia ke atas semua sampel tanah yang dihantar tidak mengesan kehadiran darah.
Ditanya Manjeet bagaimana kad itu pengesan berfungsi, Hussin berkata ia boleh mengesan salah satu komponen yang terdapat dalam darah seperti hemoglobin.
"Spesies apakah yang kamu boleh temui darah," soal Manjeet dan pegawai polis itu menjawab manusia dan haiwan yang bertulang belakang.
"Sekiranya ujian sama dijalankan untuk menguji kehadiran darah ke atas haiwan seperti lembu dan ayam adakah keputusannya akan positif," soal Manjeet dan Hussin menjawab, ya.
Terdahulu, pegawai polis itu memberitahu mahkamah bahawa siasatan pasukan forensik di Sungai Panchau, Banting, pada 15 Sept 2010, menemui sebanyak 417 serpihan tulang, tiga batang gigi, dua utas rantai, dua keping duit syiling, satu anak kunci, empat ketulan logam lebur dipercayai emas dan 15 kepingan logam serta serpihan logam.
Hussin berkata kesemua barang kes itu diperoleh menerusi teknik mengaup ke dasar sungai menggunakan tangan serta penyodok, dan tanah yang disodok kemudian ditapis menggunakan alat penapis.
"Kesemua barang kes saya keringkan di bawah kipas di sebuah bilik kosong di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, dibungkus dan ditandakan mengikut pembahagian kawasan pencarian di sungai sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat," katanya.
Perbicaraan hari ke-37 di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir disambung esok.
- Bernama