Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu gereja: Sultan akan bertitah dua, tiga hari lagi

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Sultan Selangor sendiri dijangka bertitah berhubung isu pemeriksaan terhadap Gereja Methodist Damansara Utara (DUMC) dalam masa terdekat.

NONE Katanya, setelah menghadap dan membincangkan perkara itu dengan baginda pagi tadi, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersetuju memberikan pandangan dan nasihat untuk menyelesaikan isu itu dengan cara terbaik.

"Saya dan juga barisan exco kerajaan negeri tidak akan membuat sebarang ulasan mengenai isu ini bagi menghormati keputusan DYMM Sultan Selangor," katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan menyuarat exco tengah hari tadi, Abdul Khalid berkata, apa pun titah Tuanku, kerajaan negeri akan akur terhadapnya.

NONE Bagaimanapun, menteri besar menolak tanggapan bahawa kerajaan negeri tidak mahu campurtangan langsung dalam isu kontroversi itu.

"Kita campurtangan. Tetapi ada adapnya. Baginda ketua agama dan baginda akan memberi titah (berhubung perkara itu)," kata Abdul Khalid.

Beliau juga enggan menjelaskan kandungan laporan lengkap yang diserahkan padanya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) minggu lalu atau membuat sebarang ulasan berkaitan sebelum titah Tuanku Sultan.

Ditanya sama ada titah baginda Sultan akan mempengaruhi keputusan JAIS yang mahu membuat pendakwaan terhadap 12 umat Islam yang terlibat dalam program yang dikaitkan dengan usaha memurtadkan umat Islam, Abdul Khalid enggan membuat sebarang "spekulasi".

"Itu bersifat spekulasi, perbincangan antara saya dan Tuanku bukan untuk pengetahuan umum," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS