Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Empat orang, termasuk dua pengawal keselamatan, cedera ringan dalam satu kejadian letupan di kompleks membeli-belah Empire Gallery, Subang Jaya jam 3.45 awal pagi tadi.

NONE Letupan itu menyebabkan keseluruhan aras bawah kompleks membeli-belah itu mengalami kerosakan teruk, antaranya cermin pecah, dinding bangunan pecah dan lantai retak serta beberapa buah kereta didapati remuk.

Beberapa laluan jalan raya menghubungkan kompleks membeli-belah itu ditutup buat sementara waktu oleh pihak berkuasa.

Penghuni apartmen berhampiran dilihat berkumpul di luar perkarangan kompleks membeli-belah dan diarahkan anggota pihak berkuasa mengosongkan kediaman buat sementara waktu kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

NONE Kejadian itu turut menyebabkan kerosakan teruk beberapa premis, termasuk rangkaian cafe terkenal dengan bumbung dan kaca beberapa premis lain runtuh dan pecah.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam Twitternya pagi ini berkata, beliau mendoakan penduduk di kawasan berhampiran selamat.

Setakat ini punca kejadian belum diketahui.

Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Osman Abdullah berkata jentera bomba pertama sampai kira-kira jam 3.50 pagi.

NONE Menurutnya, setelah sampai dilokasi, berlaku kebakaran di bahagian hadapan melibatkan saluran gas yang dipercayai berpunca dari letupan yang kuat.

"Kami menerima laporan daripada pengawal keselamatan bangunan, terdapat dua orang mangsa pengawal keselamatan berbangsa Nepal terperangkap di bahagian aras bawah (basement) mengalami cedera ringan.

"Manakala dua orang awam berjaya diselamatkan dan mengalami cedera ringan kemudiannya diserahkan kepada  pihak ambulans," katanya.

NONE Sementara itu, menurut Berita Harian Online , Ketua Polis Daerah Subang, ACP Zainal Rashid Abu Bakar, berkata punca kejadian masih disiasat dan laporan terkini akan dikeluarkan pasukan bomba serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

Beliau berkata, letupan di bahagian bawah bangunan itu mengakibatkan cermin bangunan pecah membabitkan tiga kedai makan.

"Dua daripada mangsa adalah warga asing yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di situ manakala dua lagi rakyat tempatan.

"Semua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan," katanya.

NONE Menurut saksi, Daryl Chua, 27, (kanan) ketika kejadian berlaku, dia bersama teman wanitanya sedang menuju ke mesin bayaran tiket letak kereta.

Ketika sampai di mesin tersebut, katanya, tiba-tiba dia terdengar bunyi 'letupan' dan terus rebah ke lantai.

"Saya terpaksa memapah teman wanita saya yang longlai dan tidak berdaya, keluar dari kompleks membeli-belah tersebut, kira-kira tiga minit selepas kejadian berlaku," katanya ketika menceritakan detik cemas itu.

Pada masa yang sama, dia ternampak beberapa orang awam dan pengawal keselamatan bertempiaran lari menyelamatkan diri

"Nasib baik saya dan teman wanita tidak cedera serius, saya hanya luka kecil di tangan manakala kereta rosak teruk," katanya.

Bomba: Dipercayai kebocoran saluran gas

Sementara itu, Bernama melaporkan Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 3.45 pagi dan 50 anggota dihantar ke tempat kejadian.

Beliau berkata letupan itu dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran gas dari aras bawah yang menempatkan kedai-kedai makan dalam pasar raya itu.

"Kami sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

   

"Buat masa ini, kami tidak benarkan orang ramai memasuki pasar raya ini. Kebocoran dah dapat dikawal, cuma sekarang kami sedang siasat lebih terperinci mengenai puncanya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Kira-kira 300 orang awam yang menginap di hotel berdekatan pasar raya itu dikeluarkan sebagai langkah berjaga-jaga dan sehingga pukul 4 petang ini, kesemua mereka belum dibenar memasuki hotel itu. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS