Setelah bantahan keras sebelumnya, Pemuda PAS dan pengarah filem Hantu Bonceng Ahmad Idham Ahmad Nadzri mencapai kata sepakat bahawa isu "penghinaan" Islam dalam filem itu dianggap selesai.
"Dalam kesempatan ini juga, kedua-dua belah pihak memohon agar isu berkaitan ini tidak lagi diperbesarkan dan dipertikai oleh mana-mana pihak kerana isu terbabit telah diselesaikan dalam pertemuan ini," demikian menurut kenyataan bersama dewan itu dan penerbit Excellent Pictures Sdn Bhd.
Dalam pertemuan itu, Pemuda PAS diwakili ketuanya Nasrudin Hassan.
Nasrudin pada 19 September lalu mendakwa filem yang dibintangi pelawak terkenal Zizan - atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abd Razak - mengandungi babak yang jelas menghina Rasulullah.
Dua hari selepas itu, mereka juga menyerahkan memorandum bantahan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana beranggapan Hantu Bonceng tidak mengendahkan panduan penerbitan berhubung dan "unsur yang bercanggah dengan akidah dan amalan Ahli Sunnah Waljamaah".
Dalam kenyataan yang disiarkan dalam web Pemuda PAS itu semalam, dalam pertemuan Pemuda PAS dan penerbitan Hantu Bonceng , kedua-dua pihak saling memberi dan mendengar penjelasan, selain mengenali satu sama lain.
Siswa: Sastera itu luas
Menurut kenyataan itu, Ahmad Idham merasakan pertemuan itu memberikan hasil positif, menunjukkan keterbukaan kedua-dua pihak, sekali gus mampu memperbaiki penghasilan filem akan datang.
Dalam pertemuan itu juga, Ahmad Idham memberi penerangan kepada dewan itu berkaitan senario industri perfileman tempatan.
Dalam perkembangan berkaitan, sekumpulan aktivis mahasiswa juga mengadakan pertemuan dengan Ahmad Idham berhubung isu itu dan mendapati babak kontroversi yang dibangkitkan tidak salah kerana "sastera itu nilainya sangat luas".
"Saya harap mahasiswa perlu mendapatkan maklumat yang tepat sebelum membuat sebarang persepsi dan tanggapan negatif terhadp sesuatu perkara," ujar Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohd Syahid Mohd Zaini.
Dalam sesi tidak formal itu, Ahmad Idham menjelaskan, dalam dunia perfileman, ruang dakwah dan mendidik masyarakat ke arah kebaikan sangat luas dan perlu disampaikan dengan bahasa yang mudah.
Turut hadir Pengerusi Soladiriti Mahasiswa Malaysia(SMM) Ahmad Syukri Ab Razab.