Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata hukum Hudud yang mahu dilaksanakan di Kelantan sama sekali tidak kena mengena dengan masyarakat bukan Islam terutama DAP yang juga tiada sebab membantah undang-undang Islam itu dilaksanakan.
Beliau menyifatkan DAP seperti "budak-budak kecil takutkan hantu" sedangkan hukum Hudud sebenarnya lebih adil dan tidak membabitkan golongan bukan Islam.
"DAP nak keluar (gabungan pembangkang) pasal apa? Hudud untuk orang Islam dan apa hubungan dia (DAP) dengan orang Islam," katanya kepada pemberita di kediaman Menteri Besar di Kota baharu, semalam.
Kelmarin, Nik Abdul Aziz berkata hukum Hudud itu akan dilaksanakan di Mahkamah Syariah di Kelantan walaupun mendapat tentangan daripada DAP.
Baru-baru ini, pemimpin-pemimpin kanan DAP dilaporkan akan meletakkan jawatan beramai-ramai sekiranya terdapat usaha meletakkan matlamat menjadikan negara Islam atau melaksanakan hukum Hudud di negara ini.
Di Kuala Lumpur, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali meminta semua pemimpin Pakatan Rakyat tidak membuat sebarang kenyataan mengenai hukum Hudud sehingga mesyuarat bulanan mereka, Rabu ini.
Ia adalah persetujuan yang dicapai antara beliau dengan Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke, katanya kepada pemberita.
Mustafa berkata, mesyuarat pada hari tersebut yang sepatutnya membincangkan mengenai Bajet 2012 tetapi akan meletakkan isu sensitif hukum Hudud sebagai keutamaan dan satu pendirian bersama akan dibuat.
- Bernama