Keluarga allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed mahu lebih banyak masa sebelum mengulas secara rasmi keputusan inkues berhubung kematian penolong pengarah kastam itu.
Abang iparnya, Mohd Shah Jaafar berkata balu Ahmad Sarbaini letih hari ini kerana beliau telah pergi ke bangunan Tabung Haji.
Masiah @ Maziah Manap ( kiri ) dan Ahmad Sarbaini dijadual menunaikan fardu haji tahun ini.
Berikutan kematian Ahmad Sarbaini, anaknya akan mengantikan bapanya ke Tanah Suci.
Mengulas keputusan Mahkamah Koroner, peguam keluarga, Awtar Singh berkata adalah sukar untuk mempercayai bahawa arwah Sarbaini telah memanjat tingkap untuk melarikan diri.
"Mengapa dia perlu berbuat demikian? Dia pergi (ke sana) secara sukarela. Tambahan pula, tidak ada cap jari yang kelihatan di cermin tingkap dan mereka tidak mengambil pakaian ketua penyiasatan SPRM KL, Ahmad Fauzi (Husin), untuk menjalankan ujian DNA."
Awtar berkata SPRM perlu bertanggungjawab atas kematian itu kerana kejadian berlaku di perkarangan bangunannya.
"Kami sedang memikirkan untuk memfailkan semakan kehakiman, tetapi saya akan menunggu arahan daripada keluarganya."
Mahkamah Koroner hari ini memutuskan kematian Ahmad Sarbaini, 56, disebabkan nahas kerana terjatuh dari aras tiga bangunan SPRM dengan tidak disengajakan.
Koroner Aizatul Akmal Maharani membuat keputusan itu selepas bersidang selama 13 hari dan memanggil 34 saksi sejak 4 Julai lalu.
Aizatul juga menolak unsur dibunuh dan membunuh diri.
Ahmad Sarbaini ditemui mati di aras satu gelanggang badminton bangunan itu di Jalan Cochrane di Kuala Lumpur pada April lalu.