Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pinda perlembagaan: Pemuda PAS sokong Khairy
Diterbitkan:  Sep 26, 2011 3:15 PM
Dikemaskini: 7:24 AM

Pemuda PAS daripada dua negeri Pakatan Rakyat menyokong penuh kenyataan ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang menggesa kerajaan meminda perlembagaan bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan.

Dewan Pemuda PAS Selangor dan Kelantan  berharap Khairy dapat meneruskan desakan "menongkah arus" itu di peringkat partinya dan kerajaan.

NONE Ketua Pemuda PAS Selangor Hasbullah Mohd Ridzuan berkata, pihaknya mengucapkan tahniah atas keberanian Khairy, yang berbeza dengan pemimpin lain dalam parti Melayu itu, termasuk Datuk Seri Najib Razak sendiri.

Bagaimananapun, dengan nada berbeza, Hasbullah berharap perjuangan itu tidak separuh jalan dan menggunakan seluruh ruang

untuk memastikan pindaan itu terlaksana.

"Jangan hanya pandai bercakap dan beretorik di dada akhbar untuk menjuarai isu hudud tetapi menjadi pemuda yang bacul dan pengecut apabila ditekan dan diancam ugut oleh pemimpin-pemimpin Umno/BN yang lainnya.

"Pergerakan Pemuda Umno perlu bangkit menyokong dan mempertahankan kenyataan Ketua Pemuda mereka dengan mendesak Kerajaan supaya melaksanakan pindaan tersebut dan tidak mempedulikan ancaman dan ugutan daripada parti sekutu BN yang lain," katanya.

'Komoditi politik'

Mingguan Malaysia semalam memuatkan reaksi pemimpin Umno berhubung isu itu dengan judul "Hudud: Hanya mainan politik PAS", yang memetik Khairy sebagai berkata:

NONE "Pemuda Umno tidak sanggup melihat PAS terus menjadikan isu hudud sebagai komoditi politik. Kerajaan Pusat perlu meminda perlembagaan bagi membenarkan PAS melaksanakannnya di Kelantan."

Pandangan itu dilihat agak berbeza dengan nada empat lagi pemimpin Umno yang dibariskan sama, iaitu Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Melaka Tan Sri Mohd Ali Rustam, Ketua Penerangan Datuk Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Sementara itu, Harakahdaily melaporkan Ketua Penerangan PAS Kelantan Ahmad Fadhli Shaari berkata, kenyataan Khairy mempamerkan sikap terbuka dan berani berbanding pemimpin lain dalam Umno.

Bagaimanapun, tambahnya, beliau juga perlu meneruskan desakan itu supaya kerajaan tidak tunduk dengan mudah kepada " ugutan " MCA dan Gerakan yang sanggup berpisah dengan Umno, jika parti Melayu itu melaksanakan perundangan Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS