Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mahu artikel yang didakwa memfitnahnya ditarik balik dan permohonan maaf secara terbuka serta tanpa syarat dari Bernama kerana menyebarkan 'berita palsu dan dusta,' ataupun menghadapi tindakan undang-undang.
Lim didakwa oleh agensi berita nasional itu sebagai berkata bahawa Johor adalah sebuah negeri yang tidak selamat berbanding Pulau Pinang dan kemungkinan seseorang diculik adalah tinggi, dalam satu temu bual dengan Radio Australia pada 20 Sept lalu.
Lim bagaimanapun menafikan beliau mengeluarkan kata-kata berkenaan dan mendakwa mempunyai saksi-saksi untuk menyokong beliau.
Dalam surat yang ditujukan kepada Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong,- Lim, memerusi setiausaha akhbar (II) Wong Kim Fei, berkata agensi berita itu menyiarkan laporan palsu itu pada 23 September.
Artikel berkenaan "Lim Guan Eng should not sabotage other states - Muhyiddin" dan "Lim Guan Eng tidak sepatutnya sabotaj negeri lain - Muhyiddin".
Wong menjelaskan bahawa Lim telah ditemuramah oleh Radio Australia pada 20 September oleh Cameron Wilson.
Radio Australia adalah milik Australian Broadcasting Corporation dan menyiarkan perkhidmatan dalam talian serta radio antarabangsa yang disiarkan dalam lapan bahasa dengan tumpuan khususnya di Asia dan Pasifik.
Wong berkata bahawa semasa diwawancara, Lim membincangkan tentang perjanjian pemohon suaka, pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan mengenai Pulau Pinang tetapi sepanjang wawancara berkenaan, beliau tidak pernah menyebut mengenai Johor atau membuat apa-apa rujukan kepada situasi di negeri-negeri lain di Malaysia.
Katanya, dua pembantu menemani Lim pada wawancara itu - Jeffrey Chew dan Yap Soo Huey - dan mereka boleh menjadi saksi mengenai apa yang diperkatakan.