Pihak berkuasa perlu menjelaskan mengapa stesen-stesen TV tempatan diarahkan supaya berhenti menyiarkan video yang menggalakkan orang ramai mendaftar sebagai pengundi, kata naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
"Saya amat terkejut membaca berita bahawa Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengarahkan penyiar tempatan berhenti menayangkan hebahan khidmat awam (PSA) - "Undilah" - yang diterbitkan oleh Pete Teo dan dilancarkan pada Hari Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nurul Izzah (kanan) yang juga ahli parlimen Lembah Pantai, adalah antara mereka yang muncul dalam klip video itu yang turut menampilkan ahli politik BN seperti ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong (di bawah).
"PSA (Undilah) yang disertai diri saya sendiri dan ramai lagi tokoh masyarakat Malaysia, adalah satu usaha tak berpihak untuk mengajak rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi dan keluar mengundi bila tiba masa pilihanraya nanti, demi mengukuhkan proses demokrasi yang diamalkan di negara kita.
"Ia bertujuan memupuk semangat demokrasi di kalangan rakyat Malaysia, tanpa mengira pihak mana yang disokong," kata Nurul.
Menurutnya, di kala para pemimpin negara begitu gah mahu menjadikan Malaysia negara pengamal "demokrasi terbaik" di dunia, tindakan SKMM itu jelas merosakkan usaha-usaha tersebut dan seakan-akan memperlekeh intelek rakyat Malaysia amnya.
"Saya memohon SKMM menjelaskan arahan yang dikeluarkan kepada penyiar tempatan," kata Nurul.
Sehubungan itu, beliau mendesak SKMM menarik balik arahan tersebut dan sebaliknya "mempromosi video ini sebagai satu langkah yang dapat memperkukuh demokrasi di negara tercinta ini".
"Janganlah kebebasan SKMM diperkuda demi permainan politik seorang menteri yang sudah jelas ketinggalan zaman, yang
semakin hilang ditelan arus pemodenan corak politik tanahair," tambahnya.
Sebuah lamanweb berita melaporkan hari ini bahawa SKMM - dalam satu emel minggu ini - mengarahkan Astro dan Media Prima Bhd supaya berhenti menyiarkan video 'Undilah' kerana ia menampilkan ahli politik pembangkang serta Tengku Razaleigh, merujuk kepada masalah yang dihadapi negara.
Turut muncul dalam video tersebut ialah Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin (kanan dalam gambar atas); ahli parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua; ahli parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad dan ADUN PKR Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad bersama-sama dengan artis-artis seperti Namewee dan Afdlin Shauki.