Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengeluarkan sejumlah 220 lagi warga asing daripada rang daftar pemilih di Selangor.
Mereka antara 222 orang yang dibantah PAS Paya Jaras - dalam parlimen Subang - dan didengar suruhanjaya berkenaan pada Selasa dan Rabu lalu.
Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS DUN itu Mohamad Fisal Mohamad Yusoff berkata, semua mereka memegang kod 71 dalam kad pengenalan penduduk tetap (PR) - kad pengenalan merah - sewaktu membuat semakan.
"Dalam rekod JPN (Jabatan Pendaftaran Negara), mereka semua memegang kad pengenalan merah, oleh kerana itu kita membuat bantahan.
"Dan semasa bantahan, mereka masih lagi memegang kad pengenalan merah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Menurutnya lagi, daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 30 orang hadir semasa pendengaran di pejabat SPR negeri di Shah Alam.
"(Seramai) 28 orang daripadanya memberitahu tidak pernah memohon (sebagai pemilih) dan tidak tahu nama mereka didaftarkan sebagai pengundi," kata Mohamad Fisal.
Beliau menegaskan kebanyakan daripada pemegang kad pengenalan itu berasal dari Kemboja dan Indonesia.
Sehubungan itu, kata Mohamad Fisal, SPR akan menggugurkan nama mereka sebagai pemilih susulan bantahan yang dibuat pada 2 Ogos lalu.
Semalam SPR dilapor menerima bantahan PAS Shah Alam dan bersetuju menggugurkan 52 nama yang meragukan daripada daftar pemilih di kawasan itu, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad.