Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegur wakil rakyat BN supaya mengubah imej mewah yang ditonjolkan sehingga menyebabkan rakyat berasa jijik dengan parti itu.

NONE Katanya, faktor tersebut merupakan salah satu sebab BN merekodkan prestasi buruk pada 2008 – yang masih belum dapat dipulihkan hingga kini.

Persepsi tersebut antara lainnya berpunca daripada kegiatan membeli undi dari kalangan perwakilan semasa pemilihan parti.

"Golongan muda pandang parti komponen sebagai korup dan mereka tidak ingin sokong. Walau tak ramai yang tak sokong, sikit-sikit tak dapat undi, kita akan kalah," katanya dalam satu majlis di Dewan Umno bahagian Kuala Selangor hari ini.

Dalam majlis anjuran Kelab ADUN BN itu, Mahathir turut mengulas mengenai program melibatkan 171 orang wakil rakyatnya yang kini menyertai program permukiman selama tiga hari di Selangor.

NONE Salah satu program berkenaan menetapkan wakil rakyat berkenaan untuk menginap di sebanyak 320 buah kediaman keluarga di setiap kawasan DUN Selangor.

"Bagus tidur dengan rakyat ini, tapi bila datang ke rumah penduduk yang robek dengan kereta Mercedes, ini tidak betul.

"Imej kita kena jaga. Kalau jadi wakil rakyat, tiba-tiba jadi kaya, orang akan benci kepada kita," katanya lagi dalam ucapannya kepada wakil rakyat berkenaan.

Calon 'payung terjun'

Tambahnya, wakil rakyat berkenaan perlu memberi perkhidmatan yang ikhlas kepada masyarakat, seperti menurap jalan.

Dengan sinis, Mahathir berkata mereka akan berasa berpuas hati apabila kerja tersebut berjaya dijalankan dan bukannya kerana "dapat kontrak untuk buat jalan tar."

NONE Mahathir berkata beliau kini boleh berkereta mewah kerana beliau bukan lagi seorang wakil rakyat dan tidak perlu memikirkan persepsi masyarakat.

"Siapa-siapa tak suka kat saya tak apa... Tapi kalau imej wakil rakyat buruk, keburukan itu akan terpalit kepada parti," katanya.

Mengulas mengenai pemilihan calon – satu lagi isu yang menyebabkan perpecahan dan kekalahan BN dalam pilihan raya sebelum ini – Mahathir berkata wakil rakyat berkenaan perlu menerima hakikat bahawa mereka mungkin tidak akan diturunkan sekali lagi.

Namun, wakil rakyat BN itu perlu terus menyokong calon yang diumumkan – termasuklah calon 'payung terjun' sekiranya bahagian tidak mempunyai calon yang sesuai ataupun untuk meletakkan individu tertentu sebagai menteri.

"Sebab ada juga teguran yang kata menteri tak tahu itu ini," katanya yang menjelaskan bahawa calon payung terjun itu bagaimanapun tidak boleh terlalu ramai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS