Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat cukup matang untuk tidak meletakkan harapan tinggi dalam isu pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang lain yang mengehadkan kebebasan sivil dan politik.
Ketua pembangkang berkata, beliau menjangkakan dua undang-undang menggantikan ISA sama terhad, walaupun mungkin tidak lebih ketat, daripada versi sedia ada.
Anwar menambah, rakyat perlu berwaspada bilakah akta itu hendak dibatalkan dan di kalangan pimpinan Umno sendiri, ia dijangka cukup ketat dan keras "asalkan bunyinya bukan ISA".
"Saya tidak percaya rakyat mudah diperbodohkan dan menilai kedudukan dalam pengumuman kerangka kenyataan oleh Apco.
"Biar rakyat menilai dengan sendiri. Kempen Pakatan batalkan ISA berkesan," katanya yang juga anggota parlimen Permatang Pauh.
Anwar berkata, harus diingati bahawa ISA digunakan untuk mempertahankan ketuanan Melayu dan melindungi kedudukan Umno dalam kerajaan.
Beliau berpendirian bahawa rakyat mampu menilai cadangan yang dikemukakan perdana menteri sebagai cara untuk menambat hati rakyat menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.
"Dua soalan yang perlu difikirkan bilakah ISA akan dimansuhkan? Dan apakah kedua-dua undang-undang yang menurut maklumat daripada Umno, akan sama ketat dan terhad untuk menggantikan ISA?" katanya.