Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seraya menjauhi Plato dan al-Farabi

Kuteliti dunia indra dengan mata sendiri

Tak pernah aku mengemis dan pinjam pandang orang lain

Dengan pandangan sendiri, muncullah apa yang kuingin

azlan Tiba-tiba, sejarah menjadi topik paling hangat untuk diperkatakan. Mana tidaknya, untuk setiap 30 minit berita utama, 10 minit digunakan media massa untuk menghentam Mat Sabu. Eh, Mat Sabu?

Gila glamor betul Mat Sabu ni. Ada rakan saya kata, gila populariti! Nak jadi artis!

Haih, sampai jadi artis Mat Sabu!

Tetapi, mahu atau tidak kita perlu berterima kasih kepada Mat Sabu kerana telah menjolok sarang tebuan. Yang anehnya, sarang tebuan yang dijoloknya adalah sisi sejarah yang selama ini disorok oleh Umno.

mat indera forum 070911 audience Maka secara tiba-tiba, sejarah menjadi sesuatu yang sangat menarik untuk diperkatakan. Timbullah pelbagai forum untuk membincangkan hal-hal berkait sejarah ini. Bekas-bekas ketua polis berkumpul sesama mereka, berbincang tentang sejarah yang betul. Profesor-profesor sejarah pun berkumpul juga, berbincang tentang sejarah yang tak betul, kata mereka.

Surat khabar, tak kurang dari dua minggu lalu, setiap hari membicarakan soal sejarah. Belum kira media internet.

Bosan...

Sejarah, sebagaimana yang biasa kita kenali, membosankan, mengantuk, kena salin nota panjang-panjang akibat guru yang malas mengajar, buku teks yang senantiasa membosankan.

NONE Tiba-tiba menjadi perhatian ramai. Ini adalah fenomena ‘Stockholm Syndrome’. Anak muda yang selama ini menjadi ‘hostage’ dalam upacara pembelajaran sejarah secara tiba-tiba berasa empati dan berperasaan positif terhadap sejarah negaranya sendiri.

Sejarah yang selama ini kehilangan ereksi, cuba untuk dipulihkan oleh Mat Sabu dengan hanya menggunakan pil oral anti-erectile dysfunction (ED).

Ramai yang tidak sedar bahawa sejarah adalah ibrah. Tiada yang benar atau salah dengan sejarah. Sejarah hadir sebagai pengajaran. Dan yang lebih besar dari itu, sejarah bukan milik siapa-siapa.

Sebab itu apabila Umno menganggap sejarah memerdekakan negara kita adalah miliknya, milik tokoh-tokohnya, milik partinya, Umno telahpun memati-pucukkan fungsi sejarah sebagai alat (tools) dan material utamanya untuk menjadi pengajaran.

malaysia parliament parlimen building 050907 tunku Kesan fizikal terhadap usaha terancang memati-pucukkan sejarah ini adalah ‘the lack of historical awareness’ di kalangan warga muda serta ‘serious historical disorder’ di kalangan warga tua.

Usaha meminggirkan pejuang berhaluan kiri secara tersusun dan berterusan melalui sistem pendidikan ini telah menyaksikan betapa nihil dan ceteknya anak muda kita terhadap pergerakan dan usaha perjuangan menentang penjajah oleh penduduk Tanah Melayu dari sudut pandang global.

Dengan menerhadkan pejuang-pejuang dan pergerakan secara am, sejarah telah ditulis dan direka semula berdasarkan sudut pandang ‘diminutive’ atau dengan kata lain, memandulkan aspek pemahaman dan keperluan sejarah sebagai sebuah pengajaran.

Secara serpihan

Akibatnya, kaum muda hanya mengenali dan memahami sejarah perjuangan kemerdekaan negara secara serpihan. Kaum tua pula cuba menyorokkan serpihan-serpihan lain, agar kekal tidak diketahui kaum muda.

malaysia indepence merdeka tunku abdul rahman declare 290806 ‘Serious historical disorder’ ini, merujuk kepada usaha menulis semula sejarah menurut ‘welstanchaaung’ dan fantasi sesetengah pihak yang mempunyai kepentingan. Sejarah tidak ditulis berdasarkan kepada pengajaran atau ‘end product’ terhadap pengajian sejarah tersebut.

Malangnya, Mat Sabu adalah seorang ahli falsafah idealis, yang berjaya melihat ‘mental things’ sebagai akar kepada ‘perception’. Kita perlu jujur bahawa, para pejuang aliran kiri seperti Dr Burhanudin Helmi dan rakan-rakannya juga mempunyai ruang dalam sama-sama menentang penjajah untuk menuntut kemerdekaan.

Apakah sikap kita sejujurnya, mengambil contoh pembunuhan Henry Gurney oleh Chin Peng? Saya tidak fikir masyarakat umum yang waras akan mengambil sikap untuk masih berpihak kepada Henry Gurney.

Tak seorangpun tahu bagaimana Diri muncul

Tak dari dunia ruang dan waktu ia berasal

Kudengar hikmah ini dari Nabi lautan:

“Laut tak lebih tua dari ombak buihnya”

Tak lagi zalim

‘Stockholm Syndrome’ bermula dengan penafian pertama oleh orang yang dijangkitinya. Komunisme yang selama ini diajarkan sebagai sebuah entiti ganas, zalim dan tidak berperi-kemanusiaan diterima secara baik oleh golongan muda. (Mana tidaknya, dua buah blok pasca-komunis, Russia dan China adalah dua penyokong utama pembentukan negara Palestin di UN).

NONE Komunisme, secara tiba-tiba tidak lagi dianggap zalim, ganas atau dalam bahasa mudahnya adalah delinkuen. Orang muda secara tiba-tiba bercakap ‘komunisme’ dalam terma ekonomi, mengangkatnya sebagai produk ekonomi anti-kapitalisme.

Ilmu telah mengatasi ‘wrong-judgement’ yang telah dilemparkan terhadap komunisme selama berdekad lamanya.

Tetapi perkara paling menarik menurut saya terhadap ‘Stockholm Syndrome’ ini adalah kerana ia turut menjangkiti ahli sejarahwan negara kita.

zainal kling Tokoh yang pakar dan ahli dalam sejarah, yang memegang pangkat dan jawatan Profesor akhirnya secara terang menyatakan empati mereka dengan mengandaikan bahawa Tanah Melayu sebenarnya tidak pernah dijajah!

Andaian ini malah menyebabkan anak muda negara ini bingung, kerana selama ini mereka diajar bahawa begitu payah sekali Tunku Abdul Rahman berusaha untuk menuntut kemerdekaan, sehingga bergolok gadai wang dan emas semata-mata untuk menuntut kemerdekaan dari pihak British.

Jika tidak pernah dijajah, mengapa pula perlu mengemis meminta kemerdekaan dari British? Yang lebih membingungkan, laungan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman sebanyak 7 kali serta acara menyambut kemerdekaan saban tahun selama 54 tahun ini sebenarnya untuk apa?

NONE Sekali lagi ‘Stockholm Syndrome’ menyerang kerana andaian baharu diatas telah mencetuskan sebuah diaspora pemikiran yang telah menyerakkan lagi idea-idea tentang bagaimana sejarah harus difahami.

Anak muda yang selama ini lemah syahwat sejarahnya tiba-tiba naik berahi dengan kenyataan Majlis Profesor Negara tersebut, malah secara terbuka mula berdebat soalnya.

‘Character-assasin’

Belajarlah dari kuntum bagaimana hidup, O Hati

Ia adalah lambang hidupmu yang mencari cahaya

Ia menyembul jauh dari kegelapan bumi

Tapi sejak lahir punya mata di sinar matahari

Saya berpendapat dari sudut nilai ‘political-mileage’ Mat Sabu terhadap keberaniannya mencadangkan Mat Indera sebagai Pil Oral anti-ED sejarah dalam sosio-budaya tabu dan norma sensitiviti masyarakat, keuntungannya tidak akan bergerak lebih jauh dari kerugiannya.

Dalam suasana dan ‘ambience’ masyarakat yang sensitif, sukar untuk Mat Sabu memulihkan ‘character-assasin’ yang sedang dihadapinya.

NONE Pun untuk menyalahkan item politik dan struktur kepartian terhadap kemusnahan dan kecelaruan yang sedang kita hadapi dalam menangani isu sejarah ini adalah sesuatu yang tidak berasas.

Cuma sesuatu yang perlu kita sedari adalah selain sekuel dan prekuel berkait perjuangan menuntut kemerdekaan, ‘minutia’ seperti bahasa kebangsaan, batik (Indonesia), bendera (AS?) dan lagu kebangsaan (memula moon) adalah sebahagian dari kecelaruan budaya dan tamadun yang sedang kita raikan.

Apakah sebenarnya identiti dan jati diri kita sebagai warga negara, dan bagaimana seharusnya kita bersikap terhadap sejarah dan norma-norma budaya yang kita anuti sebenarnya?

Atau kita, bak kata rakan saya sebenarnya sedang; ‘Celebrate the Chaos’!

mat indera 060911 Mat Indera, tidak lebih dari sebiji pil oral anti-ED yang diraikan oleh Mat Sabu. Ketidakmampuan ereksi sejarah ini jika tidak mampu dirungkai menggunakan pil oral, masih mempunyai beberapa opsyen seterusnya seperti ‘alprostadil’, pam hampagas, rawatan hormon atau pembedahan.

Tetapi kita memang mempunyai tradisi sebegini rupa. Penyakit ketidakmampuan ereksi sejarah ini bukan asosiasi milik zaman kita, tetapi akar umbi dan tradisinya dimulakan sejak dari dahulu.

Sebagaimana dijelaskan oleh Mohd Yusof Ibrahim di dalam bukunya Sejarawan dan Pensejarahan Melayu (2010); “Jelas bahawa motif penulisan Tun Seri Lanang (Sulalatus Salatin) adalah ‘untuk menyukakan duli hadrat baginda sultan’...”.

Bait puisi di atas adalah petikan ‘Tulip dari Sinni’ karya Muhammad Iqbal.


Zul Fikri Zamir adalah seorang pemerhati bebas. Tulisan ini juga disiarkan di www.zamiramnesia.blogspot.com.

Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS