Laman web Biro Hal Ehwal NGO pejabat Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina hari ini menyiarkan laporan dengan memetik sumber yang mendakwa bahawa pekerja Bangladesh di Malaysia diberi kewarganegaraan dengan mudah asalkan mengundi parti yang mewakili kerajaan pemerintah.
Pejabat Perdana Menteri Bangladesh itu dikatakan telah menerima pengesahan daripada sebilangan pekerja Bangladesh dalam beberapa sektor di Malaysia bahawa mereka diberi taraf kewarganegaraan sejak tahun lepas, lapor Bernama.
Menurut laman web itu, Hasina telah bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menurut sumber dengan kedudukan yang tinggi mendakwa Najib memberi jaminan menimbang isu itu ketika beliau (Hasina) berada di Malaysia untuk menghadiri Forum Dunia 66 Ekonomi Islam di Kuala Lumpur pada bulan Mei 2010.
Sementara itu, agensi berita nasional itu juga melaporkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan itu.
Sambil menolak dakwaan bahawa golongan itu juga diberi hak mengundi pada pilihan raya di Malaysia, Muhyiddin berkata kerajaan tidak perlu berbuat demikian apatah lagi jika ia dikaitkan dengan proses pilihan raya.
Katanya kerajaan tidak begitu terdesak sehingga perlu memberikan taraf kewarganegaraan semata-mata untuk meraih undi dan memastikan kemenangan pada pilihan raya akan datang.
"Kita boleh minta penjelasan dari pihak Bangladesh apakah benar kenyataan itu dibuat oleh Perdana Menteri kerana dari segi soal kerajaan kita tidak buat begitu. Seseorang yang hendak jadi warganegara perlu melalui pelbagai proses, tempoh masa berapa lama dah berada di sini, sama ada dia betul-betul tahu keadaan di sini dan sebagainya sebagaimana yang biasa kita lakukan.
"Tidak ada kita bagi keistimewaan kepada warga Bangladesh. Apatah lagi dikaitkan dengan pilihan raya. Macam kita ini terdesak sangat nak minta orang seperti itu didaftarkan jadi warganegara dan nak suruh dia pergi undi. Kalaupun undi, dia masuk tong dan kita tak tau dia undi siapa pun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Nasional Parti Makkal Sakti Malaysia
2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini.
Justeru, Muhyiddin berkata beliau akan meminta pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh menyemak perkara berkenaan sama ada ia benar atau tidak, lapor Bernama lagi.