Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) hari ini menuntut kerajaan memohon maaf dan membayar "pampasan setara" kepada tahanan ISA dan keluarga mereka susulan tindakan kerajaan mahu menghapuskan akta tersebut.

NONE "Semua mangsa ISA perlu dibayar pampasan setara dengan penyeksaan dan pengalaman pahit yang telah dilalui oleh tahanan dan keluarga," kata Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh dalam sidang media di ibu negara.

Pampasan itu, kata Syed Ibrahim ( gambar kanan, berbaju putih )  perlu dinilai kerajaan berdasarkan beberapa perkara, antaranya tempoh ditahan, kos ulang alik ke kem dan keruntuhan rumah tangga.

"Kami berharap kerajaan benar-benar serius untuk membuat penilaian... Ini yang perlu dikaji oleh kerajaan," katanya.

Semalam, Najib dalam pengumuman khas yang disiarkan secara langsung di RTM berkata kerajaan akan memansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri 1959.

Selain itu, kerajaan juga akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa dan " tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan".

Kajian semula komprehensif itu akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Enam tuntutan

Bercakap dalam sidang media di ibu negara pagi ini, Syed Ibrahim berkata berdasarkan perkembangan terbaru itu, mereka juga menuntut:

  • Semua "pemuka" yang terlibat dalam menyeksa tahanan ISA mesti di bawa pengadilan.
  • Kerajaan, menteri berkenaan dan polis mestilah amanah dalam melaksanakan pelbagai prinsip yang ditegaskan oleh perdana menteri dalam ucapannya bukan sekadar "servis bibir".
  • Kerajaan mestilah memansuhkan lain-lain undang-undang tanpa bicara seperti Akta Dadah Merbahaya.
  • Kerajaan melaksanakan kajian semula dengan segera dalam tempoh yang spesifik terhadap undang-undang yang menghadkan kebebasan rakyat dan media seperti Akta Polis dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
  • Kerajaan mesti patuh kepada piagam hak asasi manusia antarabangsa dalam soal berkaitan aktiviti antipengganas dan melakar pelan jangka panjang dalam membangunkan mekanisme menanganinya keganasan tanpa menjejaskan hak-hak asas dan prinsip keadilan
  • Kerajaan mesti menangani dan mengesahkan International Covenant on Civil and Political Right (ICCCPR) dan Covention Against Torture dan Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (CAT).
Syed Ibrahim berkata GMI juga menyambut baik pengumuman Najib dan mengangapnya sebagai kejayaan ekoran kesedaran dan desakan pelbagai pihak selepas 10 tahun berkempen.

"GMI juga melihat perkembangan ini sebagai langkah paling berani Datuk Seri Mohd Najib sebagai perdana menteri yang tidak dapat dilaksanakan oleh mana-mana perdana menteri terdahulu.

"Namun ini juga sebagai pembuktian dan pengesahan berlakunya kongkongan dan cengkaman ke atas rakyat selama ini," katanya.

Enam kekhuatiran

Selain itu, katanya, secara tersirat, perdana menteri dan kerajaan mengakui pencabulan dan kebebasan asasi yang berlaku di samping kuasa melampau polis dan menteri bawah ISA.

Berdasarkan perkembangan terbaru itu juga, pihaknya menzahirkan enam kekhuatiran dan kebimbangan berhubung pengumuman Najib itu, antaranya:

  • Adakah pemansuhan ISA menghapuskan segala peruntukan dalamnya, khususnya berhubung dengan tahan tanpa bicara dan wewenangan polis dan menteri dalam negeri? Adakah peruntukan tersebut dipindahkan kepada dua undang-undang baru yang bakal digubal?
  • Mengapakah dua undang-undang baru tersebut digubal dengan peruntukan tanpa bicara sedangkan sudah wujud undang-undang untuk kesalahan keganasan umpananya Bab VIA Kanun Keseksaan?
  • Bilakah tempoh ISA akan dimansuhkan? Pembentangan usul pemansuhan ISA sewajarnya dilakukan dalam sesi parlimen akan datang.
  • Adakah pemansuhan ISA membawa kepada pembebasan semua tahanan ISA?
  • Apakah kedudukan bekas tahanan ISA yang telah diusir sedangkan mereka penduduk tetap? Bolehkah mereka dibenarkan kembali?
  • Apa akan jadi dengan Kem Kamunting?

VIDEO | 5.18 mins


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS