Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M: 'Calon boleh menang' akan timbulkan masalah
Diterbitkan:  Sep 13, 2011 7:30 AM
Dikemaskini: Sep 13, 2011 3:12 AM

Pemilihan calon yang boleh menang dalam pilihan raya akan menimbulkan masalah antara pucuk pimpinan dan peringkat akar umbi, kata mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

najib tun razak press conference Beliau berkata calon yang boleh menang dalam pilihan raya bergantung kepada  penilaian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ( kanan ) dan penasihatnya dalam menentukan calon yang akan bertanding.

Namun begitu, beliau berkata penilaian dan pandangan tersebut kemungkinan bercanggah dengan kehendak anggota parti dan menimbulkan masalah 'mencantas calon' dalam pilihan raya.

"Selain itu, ia menjadi satu amalan apabila mereka yang gagal dipilih atau dicalonkan bertindak untuk mencantas mereka yang dicalonkan untuk memastikan orang itu kalah dalam pilihan raya.

"Sehubungan itu, apabila parti yang menentukan calon, semua harus memberikan sokongan penuh untuk memastikan calon tersebut menang dalam pilihan raya," katanya dalam sesi rakaman rancangan Bicara Negarawan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya, semalam.

mahathir pc 260608 03 Tiga orang panel ialah Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong, Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan dan Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir.

Hadir sama ialah isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim.

Dr Mahathir berkata Najib yang juga Pengerusi BN harus menerangkan kepada bakal-bakal calon untuk meraih sokongan di akar umbi.

"Jesteru itu, adalah lebih baik untuk memastikan parti yang meraih kemenangan agar rakyat yang dapat nikmat," katanya.

Apabila ditanya masa sesuai untuk mengadakan pilihan raya, Dr Mahathir berkata 'lewat sikit pun tidak apa".

"Ini boleh memberi masa kepada Najib untuk membuat penilaian siapa yang harus menjadi calon," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS