Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kelab Putera 1M'sia usaha bawa pulang Normazawati
Diterbitkan:  Sep 9, 2011 6:40 PM
Dikemaskini: 11:41 AM

Kelab Putera 1Malaysia akan berusaha membawa pulang warganegara Malaysia, Normazawati Wong Abdullah, 49, yang terkandas di Vietnam selepas dibebaskan dari penjara ekoran dipercayai menjadi mangsa sindiket pemalsuan kad kredit.

Rombongan kelab itu, yang diketuai Presidennya Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, dijangka berlepas ke Vietnam hujung bulan ini dan akan menguruskan segala permasalahan untuk membawa mangsa pulang, termasuk dari segi perbelanjaan dan urusan diplomatik dengan negara terbabit.

    

Abdul Azeez berkata, pihaknya telah mengumpul dana sebanyak RM20,000 bagi tujuan tersebut.

    

Menurut anak Normazawati, Siti Ansyakinah Zainal Abidin, 24, ibunya terkandas di negara itu sejak dibebaskan dari penjara pada 27 Januari lalu.

Mangsa mendakwa dianiaya sindiket pemalsuan kad kredit dan dipenjara atas kesalahan itu pada 2004.

    

"Saya tidak pernah berjumpa dengan ibu sejak tujuh tahun lalu, biarpun telah dibebaskan dari Penjara Thu Duc wilayah Binh Thuan, Ho Chi Minh, ibu perlu membayar denda berjumlah VND 373,965,810 (RM60,000) kepada pihak berkuasa Vietnam untuk membolehkannya pulang ke tanahair," katanya dalam sidang media di ibunegara hari ini.

Siti Ansyakinah berkata dia telah berjumpa dengan pelbagai pihak bagi meminta bantuan, tetapi telah menemui jalan buntu.

    

"Akhirnya Kelab Putera 1Malaysia telah sudi membantu membawa pulang ibu serta menyelesaikan denda tersebut," katanya.

    

Pada 2004, Normazawati Wong Abdullah pergi ke Ho Chin Minh, Vietnam bersama empat orang rakan di mana dia telah dijanjikan pekerjaan untuk membuat tinjauan harga barangan elektrik seperti komputer dan sebagainya.

    

Apabila sampai di sana, mangsa telah diberikan kad kredit oleh sindiket berkenaan yang memintanya membeli peralatan elektrik dalam jumlah yang besar dengan menggunakan kad kredit palsu itu.

    

"Ibu telah diugut, sekiranya tidak berbuat demikian, keluarga akan dicederakan oleh sindiket itu. Kini keadaan ibu tidak sihat dan memerlukan perbelanjaan yang besar untuk menampung kos rawatan dan kos sara hidup yang berjumlah lebih kurang RM2,500," katanya.

    

Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank Siti Ansyakinah Zainal Abidin, 164838012669 atau menghubungi pejabat Kelab Putera di talian 1300881113.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS