Sebuah forum bertajuk 'Mat Indera - Pejuang atau Pengkhianat Kemerdekaan' akan berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KSCAH) malam ini.
Forum anjuran NGO - Free Public Forum M'sia (FPF) - akan membariskan tiga ahli panel iaitu Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Prof Dr Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan penulis blog, Hishammudin Rais.
Dalam satu kanytaannya, FPF berkata ia merupakan sebuah badan NGO yang bergerak di sekitar ibukota bertujuan menyediakan pentas forum, diskusi, wacana dan sebagainya bagi membincangkan isu-isu yang berlaku dalam negara.
"Pada kali ini, FPF akan menganjurkan satu lagi pentas forum berkaitan isu yang sedang hangat diperkatakan iaitu berkaitan individu bernama Mat Indera dan peristiwa berkaitan tragedi Bukit Kepong 1950," katanya.
Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya baru-baru ini menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Mat Indera, lelaki yang didakwa bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.
Selain itu, Utusan melaporkan, timbalan presiden PAS itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, turut mendakwa Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana menganggap mereka sebagai pegawai British.