Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, keselamatan misi bantuan kemanusiaan ke Somalia, yang mengorbankan petugas media Malaysia pada Jumaat lalu, dikawal sepenuhnya pasukan bersenjata negara berkenaan.
Pasukan berkenaan merupakan anggota polis dan tentera Somalia dan bukan pasukan bersenjata upahan, katanya ketika ditanya dalam satu sidang media hari ini.
"Pasukan keselamatan adalah kerajaan dia. Ada 60 orang menjaga kami, tentera dan polisnya. Itu sebab kita tidak pernah mendapat sebarang ancaman atau ugutan malah mereka raikan lagi kedatangan kami.
"Di hotel ada lagi 30 (orang anggota bersenjata), sekeliling hotel, menjaga kami di luar dan di dalam hotel," katanya lagi.
Abdul Azeez, (kanan) yang mengetuai misi berkenaan, menjelaskan bahawa beliau juga telah mematuhi sepenuhnya arahan serta prosedur operasi standard yang ditetapkan Somalia.
Beliau juga mematuhi nasihat yang diberikan pasukan berkenaan bahawa anggota misi berkenaan tidak perlu memakai jaket kalis peluru.
"Saya tanya beberapa kali berkenaan baju kalis peluru dengan kepimpinan mereka. Mereka kata tidak perlu," katanya lagi dalam satu majlis bagi meraikan petugas yang menyertai misi berkenaan di Kuala Lumpur.
Jelasnya, anggota daripada misi yang disertai orang kenamaan (VIP) serta NGO beberapa negara Arab lain termasuk Turki, Qatar dan Sudan juga tidak memakai baju kalis peluru.
"Ada juga media daripada negara mereka datang buat liputan. Tak ditembak pun. Tapi ini takdir Ilahi," katanya lagi.
Selain itu, anggota misi berkenaan ditetapkan supaya sering menukar kenderaan dan tidak meletakkan sebarang tanda di kenderaan berkenaan supaya tidak dikenalpasti sebagai sasaran serangan, kata Abdul Azeez lagi.
Beliau juga tegas menafikan bahawa kawalan pasukan bersenjata berkenaan menyebabkan konvoi tersebut menjadi sasaran.
Ketika ditanya, Abdul Azeez berkata misi bantuan oleh pasukan lain, termasuk Mercy Malaysia juga dikawal pasukan bersenjata.
Abdul Azeez turut tetap mempertahankan kenyataannya bahawa konvoi berkenaan tidak diserang manakala petugas media berkenaan, Noramfaizul Mohd Nor (kiri) terkorban akibat "peluru sesat."
"Saya percaya kita bukan sasaran. Ini insiden yang tidak disangka. Ini peluru sesat yang saya boleh kata sebagai ketua misi ini.
"Kereta yang dinaiki arwah Noramfaizul juga kali ketiga (ditukar). Mereka tidak mensasarkan kita atau menembak kita. Tidak ada perkara seperti itu," katanya lagi.
Noramfaizul, 41, terbunuh akibat peluru yang menembusi paru-parunya ketika berada dalam kenderaan pacuan empat roda di Mogadishu.
Dilaporkan, tembakan berkenaan dilepaskan oleh pasukan pengaman Kesatuan Afrika dalam satu kejadian tembak menembak. Namun sebab tembakan itu dilepaskan setakat ini belum diperolehi.
Turut tercedera dalam insiden tembakan itu ialah seorang wartawan TV3, Aji Saregar Mazlan.
Ditanya mengenai tempoh masa yang singkat untuk membuat persediaan sebelum pasukan misi itu berlepas pada 28 Ogos lalu, Abdul Azeez berkata perkara itu merupakan satu perkara biasa.
"Itu agak normal. Begitulah cara kita buat kerja. Bila kita hendak pergi, barulah kita beritahu kepada media," katanya.
Tambahnya, tindakan perlu dilakukan dengan cepat kerana bantuan makanan dan perubatan perlu disegerakan ke kawasan yang dilanda kebuluran itu.
Persoalan berhubung tempoh untuk membuat persediaan itu ditimbulkan oleh beberapa orang wartawan yang terselamat dalam insiden berkenaan, termasuk seorang daripada stesen TV3.
Selain persediaan keselamatan, persoalan berkaitan latihan kepada wartawan yang perlu membuat liputan di zon bergolak juga ditimbulkan.
Misi ke Somalia disertai 55 orang, termasuk 18 orang wartawan yang dijadualkan berada di Mogadishu selama 11 hari bagi mengedarkan sejumlah 550 tan makanan untuk 55,000 keluarga yang terjejas.
Abdul Azeez berkata, beliau bagaimanapun membuat keputusan supaya misi berkenaan dipendekkan dan seterusnya pulang bersama jenazah Noramfaizul pada 4 September.
Katanya lagi, satu laporan akan diserahkan kepada presiden Yayasan Keamanan Global Perdana, Tun Dr Mahathir dan juga Datin Seri Rosmah Mansor yang mengetuai badan amal BAKTI.
Setakat ini, 23 orang petugas media terbunuh sejak 2007 di Somalia, yang diklasifikasi sebagai negara paling berbahaya kepada wartawan, menurut kumpulan pemerhati Wartawan Tanpa Sempadan (RSF).