Penganiaya haiwan boleh dikenakan tindakan lebih berat apabila pindaan Akta Binatang 1953 (Semakan 2006), yang kini di peringkat terakhir perbincangan oleh pihak berkenaan, dibentangkan dan
diluluskan oleh Parlimen.
Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata di bawah pindaan itu, penganiaya binatang boleh dikenakan penalti sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.
"Ada beberapa klausa yang kita kena pinda, jadi kita kena bawa ke Parlimen... kita akan buat secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek bangunan ibu pejabat baru Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Jalan Salahuddin di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau diminta mengulas insiden kira-kira 300 ekor kucing yang diselamatkan orang ramai selepas dianiaya pemilik sebuah pusat jagaan haiwan di Damansara Damai dan Sungai Buloh pada Ahad lepas.
Akta Binatang 1953 antara lain bertujuan mengawal pergerakan keluar masuk haiwan ke Semenanjung Malaysia, penyembelihan haiwan, kekejaman terhadap haiwan, pemuliharaan dan kebajikan haiwan dengan penganiaya haiwan dikenakan hukuman RM200 atau penjara enam bulan jika sabit kesalahan.
Namun, banyak permintaan dikemukakan pelbagai pertubuhan dan pencinta haiwan supaya akta itu disemak dan dipinda sejak 2006.
Mengenai bangunan baru LPP, Noh berkata ia diharap dapat melahirkan identiti baru kepada institusi itu dan seterusnya memacu industri agro makanan negara.
"Kewujudan bangunan ini juga amat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memberikan tumpuan kepada sektor pertanian di dalam negara kita... tidak dinafikan sektor pertanian merupakan pangkalan kepada makanan menjadi faktor yang penting selari dengan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara)," katanya.
Bangunan LPP, yang dibina di atas tapak seluas 2.14 hektar, mengandungi 11 tingkat dan mampu menampung 847 orang. Ia dijangka siap sepenuhnya pada hujung bulan ini selepas mula dibina pada 2008.
Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Kerja Raya Datuk Dr Amer Hamzah Mohd Yunus berkata bangunan itu sudah 98 peratus siap dan hanya perlu menjalani ujian dan pengesahan jabatan penguatkuasa.
"Bangunan ini sebenarnya sudah siap, cuma beberapa bekalan utiliti dan juga ujian sistem keselamatan, pendingin hawa, penyembur automatik dan sebagainya masih belum dapat dilaksanakan," katanya.
- Bernama