Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
800 bekas polis buat laporan polis pada Mat Sabu
Diterbitkan:  Sep 5, 2011 6:40 PM
Dikemaskini: 10:42 AM

Seramai 800 anggota Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) cawangan Kuantan hari ini membuat laporan polis dan mengadakan demonstrasi membantah kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang mendakwa pengganas komunis adalah pejuang dan wira sebenar kemerdekaan negara.

Laporan dan demonstrasi itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Setiausaha PBPM Kuantan Rafai Abdul Kadir berkata anggota persatuan itu amat kecewa dan terguris dengan kenyataan menghina oleh Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, kerana mereka telah berjuang menentang Parti Komunis Malaya (PKM) berpuluh-puluh tahun lamanya.

Beliau berkata PBPM bermandikan keringat meredah hutan dalam Ops Indera Pahang Barat, Ops Kota Echo di Perak dan Ops Doayai Musnah 2 di Sadao Thailand dalam menjalankan tanggungjawab menentang PKM.

"Kami berjuang meninggalkan anak isteri... tidak meminta apa-apa balasan tetapi mahu jasa kami dihargai dan pengorbanan bergadai nyawa kami dijadikan lipatan sejarah menjaga keamanan negara," katanya.

Rafai berkata persatuan itu mahu Mat Sabu dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana cuba memporak-perandakan keharmonian negara dengan mengeluarkan kenyataan mengelirukan.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Mat Sabu dalam ceramahnya di Tasek Gelugor 21 Ogos lalu, menyatakan Kompeni Ke-4 PKM yang menyerang Bukit Kepong sehingga mengorbankan 25 perajurit dan keluarga mereka pada Februari 1950 sebagai wira atas alasan mangsa yang terkorban adalah tentera penjajah British.

--Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS