Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jenazah Noramfaizul tiba di Pangkalan TUDM Subang
Diterbitkan:  Sep 4, 2011 11:06 AM
Dikemaskini: 3:22 AM

Jenazah jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor yang maut akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia, tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang, pada jam 10 pagi tadi.

Suasana hiba menyelubungi perkarangan pangkalan itu sebaik jenazah Allahyarham dibawa keluar daripada pesawat C-130 TUDM yang turut membawa pulang anggota misi bantuan Malaysia itu.

Jenazah Allahyarham yang diiringi Pengerusi Putera Umno merangkap ketua misi bantuan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, disambut anggota keluarga termasuk ayah Mohd Nor Mat Yassin, 66, dan ibu Naemah Abd Majid, 63.

Selain anggota keluarga, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor turut menyambut ketibaan jenazah Allahyarham Noramfaizul dan kumpulan misi bantuan kemanusiaan bertujuan membantu mangsa kebuluran di Somalia.

noramfaizul mohd nor Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jurugambar dan jurukamera mewakili pelbagai organisasi media kelihatan berkerumun di bahagian belakang pesawat ketika keranda dilitupi "Jalur Gemilang" yang membawa jenazah Allahyarham dibawa keluar untuk dibawa ke Masjid TUDM.

Dalam kejadian pada Jumaat itu, kenderaan yang dinaiki Noramfaizul, 39, dan petugas media Malaysia lain yang diiringi tentera kerajaan Somalia, ditembak ketika mereka dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan.

Insiden itu turut menyebabkan jurukamera TV3 Aji Saregar Mazlan, cedera di lengan.

Perdana Menteri memberitahu sidang media kemudian bahawa beliau kagum dengan semangat dan kecekalan Allahyarham dalam membuat liputan beberapa misi bantuan kemanusiaan Malaysia di luar negara.

 "Saya anggap Allahyarham Noramfaizul sebagai wira negara yang harus dijadikan model bagi merangsang semangat kita untuk terus membantu mereka yang kurang bernasib baik," kata Najib.

Beliau juga secara peribadi dan bagi pihak isterinya yang juga penaung misi itu, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham kerana kehilangan orang tersayang.

Turut hadir di Subang ialah Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Abdul Rahman Sulaiman, Pengurus Besar Datuk Hasnul Hassan, Ketua Pengarang Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Editor BernamaTV Abdul Rahman Ahmad selain warga BernamaTV dan agensi berita itu.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid TUDM sebelum dibawa pulang ke rumah keluarga arwah di Taman Serdang Raya untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS