Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengumumkan rancangan pergerakan itu untuk menganjurkan siri jelajah ceramah bagi menentang "penghinaan" kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.
Sambil menamakan siri jelajah itu 'Pentas Patriot' Khairy pada laman mikro-blog popular Twitter berkata siri ceramah itu akan membabitkan tokoh sejarah dan generasi mereka yang dibunuh semasa PKM mengganas di negara ini.
"Pemuda Umno akan anjurkan siri jelajah ceramah 'Pentas Patriot' siri dengan bekas kommando, askar dan polis bagi menentang penghinaan Mat Sabu itu," katanya.
Sejak Utusan Malaysia pada 27 Ogos lalu, menyiarkan ceramah Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu yang didakwa berkata pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah sebagai hero sebenar, beliau telah dibidas dan kecam hebat oleh pelbagai pihak khususnya, Umno dan BN.
Mat Sabu pada satu sidang medianya minggu lalu berkata laporan itu adalah "satu putar belit dan tokok tambah cerita untuk memfitnahnya dan PAS".
Utusan juga menyiarkan kenyataan Mat Sabu mendakwa Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis Bukit Kepong itu.
Blog-blog pro- pembangkang kemudian menyiarkan semula video ceramah Mat Sabu Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, 21 Ogos lalu bagi membuktikan perkara itu seganja diputar belit bagi memfitnah Mat sabu dan PAS.
Berikut petikan itu.
“… Bukit Kepong, polis itu polis British, hak serang Bukit Kepong tulah pegawai kerajaan, ketuanya Mat Indra, Melayu.
“Tetapi semua sejarah itu ditutup, Jins Samsuddin buat filem, Jins Samsuddin tu Umno, cerita Bukit Kepong, hak serang balai polis tu penjahat, polis itu polis British.
“Sebelum merdeka negara kita diperintah oleh British, tapi dia buat filem yang hero hak pertahan balai polis, hak serang tu pengganas, padahal Mat Inda ketua penyerang balai polis tu dan akhirnya dia dihukum gantung di Jering Taiping.
“Begitulah juga Tok Janggut, Tok Janggut ni lawan British, tapi sebelum British nak... nak bunuh dia, dia menghasut Sultan Kelantan untuk mengisytiharkan Tok Janggut sebagai penderhaka, bila isytihar Tok Janggut sebagai penderhaka, barulah Tok Janggut dihukum gantung di Pasir Puteh Kelantan.
“Semua sejarah negara kita bohong….” kata Mat Sabu.