Kematian jurukamera BernamaTV selepas terkena tembakan curi di Somalia semalam perlu dijadikan peringatan kepada wartawan dan majikan mereka supaya mematuhi prosedur operasi standard sama ada tugasan itu di Malaysia atau di seberang laut.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), berkata para majikan perlu memastikan bahawa pekerja mereka disediakan dengan peralatan perlindungan secukupnya seperti jaket dan helmet kalis peluru apabila membuat liputan di zon perang atau konflik.
"Paling penting, para majikan perlu memberi penerangan kepada wartawan, jurugambar dan jurukamera mereka mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan apabila membuat liputan di mana nyawa mereka dalam risiko," kata setiausaha agungnya V Anbalagan.
Beliau berkata, jika perlu, majikan perlu mengambil polisi insurans bagi melindungi kematian atau kecederaan kakitangan mereka.
"Tapi, jika mereka tidak dilindungi, para majikan perlu menimbang secara serius sama ada untuk menghantar mereka untuk tugasan sedemikian," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan berikutan kematian Noramfaizul Mohd Nor, 39, selepas terkena tembakan curi di Mogadishu semasa mengikuti Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia untuk membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia.
Anbalagan berkata kesatuan itu akan mengeluarkan buku panduan keselamatan komprehensif tidak lama lagi untuk wartawan yang membuat liputan gempa bumi, banjir dan pergolakan sosial sama ada dalam atau di luar negara.
"Tetapi tanggungjawab mengenai keselamatan dan kebajikan wartawan masih merupakan tanggungjawab para majikan kerana mereka memutuskan sama ada untuk membuat liputan itu atau tidak," katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Noramfaizul.
Sementara itu, anggota pemegang amanah Yayasan 1Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye berkata keselamatan dan perlindungan bagi mereka yang mengikuti misi kemanusiaan perlu diberikan perhatian utama oleh rakyat Somalia.
"Saya sedih perkara ini berlaku apabila Malaysia, melalui Kelab Putera 1Malaysia, terbabit dalam misi paling mulia bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Somalia," katanya ketika dihubungi.
Lee juga berkata anggota misi kemanusiaan termasuk kakitangan media, perlu disediakan dengan peralatan perlindungan seperti jaket kalis peluru dan peralatan lain yang perlu.
“Pihak berkuasa perlu mengkaji semula semua aspek keselamatan. Ini bagi melindungi pengamal media terutama mereka yang ditugaskan untuk membuat liputan di tempat-tempat yang bergolak," katanya.
Sementara itu, Centre for Independent Journalism (CIJ) Malaysia dalam perutusan takziahnya, menggesa pihak berkuasa Malaysia dan penganjur misi sedemikian ke kawasan perbalahan menyatakan langkah-langkah perlindungan yang diambil untuk wartawan yang menyertainya.
"Ini termasuk memberi taklimat keselamatan penuh dan latihan untuk wartawan, serta pakaian keselamatan yang perlu turut membezakan mereka sebagai wartawan atau pemerhati neutral," tambahnya.
CIJ berkata wartawan mesti sedar sepenuhnya keadaan dan risiko menjalankan tugas mereka.
"Dan jika mereka fikir langkah keselamatan tidak mencukupi, mereka berhak menolak tugas seumpama itu tanpa takut menghadapi tindakan disiplin daripada majikan. Wartawan mesti mengambil sesuatu pendirian dan menegakkan hak mendapatkan perlindungan ketika bertugas," tegas CIJ.
CIJ juga menyambut baik jaminan kerajaan Somalia untuk menyiasat persekitaran yang menyebabkan jurukamera BernamaTV itu terrkorban dan berharap keadilan dilaksanakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
CIJ juga menggesa organisasi media Malaysia mempastikan wartawan yang menerima tugasan ke kawasan perbalahan atau zon bahaya adalah mereka yang berpengalaman yang pernah melalui persekitaran berbahaya dan menjalani latihan kesedaran risiko dan mempunyai kelengkapan keselamatan.
Ia berkata media organisasi media mesti memenuhi tanggungjawab mereka kepada petugas dari segi perlindungan asas, seperti perlindungan insuran.
CIJ berkata mereka hendaklah bekerjasama dengan pertubuhan seperti International News Safety Institute untuk membekalkan wartawan dengan latihan dan kelengkapan keselamatan.
Sementara itu, tabung amanah the Rory Peck Trust turut menyampaikan takziah atas kematian Noramfaizul pada Jumaat.
Tabung itu dinamakan bersempena Rory Peck, seorang jurukamera bebas yang terbunuh dalam kejadian tembak menambak di Moscow pada 1995.
- Bernama