Kerajaan perlu memastikan bahawa pembaharuan pilihan raya dimulakan dan diselesaikan sebelum pilihan raya umum akan datang diadakan, kata Ketua Biskop Roman Katolik Malaysia, Tan Sri Murphy Pakiam.
"Sebagai rakyat Malaysia, kami berkongsi visi yang sama untuk melihat sebuah negara Malaysia yang lebih baik.
"Kami menyeru kerajaan untuk memastikan pembaharuan dalam proses pilihan raya dengan mengambil kira pandangan semua pihak yang berkepentingan.
"Memandangkan pentingnya pembaharuan ini, proses itu perlu dimulakan dan diselesaikan sebelum pilihan raya umum yang akan datang," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pakiam, yang juga adalah presiden Persidangan Biskop Katolik Malaysia, berkata adalah "menggembirakan" bahawa kerajaan terbuka mendengar dan mempertimbangkan cadangan daripada pelbagai sektor masyarakat mengenai isu berkenaan.
"Desakan untuk pembaharuan itu bertujuan memastikan pilihan raya yang bebas dan adil," katanya.
Bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas parlimen bagi pembaharuan pilihan raya, selepas menerima tekanan hebat daripada masyarakat awam, terutamanya daripada gabungan NGO BERSIH 2.0.
Namun, perdana menteri terus dibidas apabila beliau mengumumkan bahawa pilihan raya umum akan datang boleh diadakan "pada bila-bila masa" tanpa perlu menunggu kawatankuasa khas itu menyelesaikan tugas mereka.
Minggu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut dikritik kerana berkata mereka mungkin tidak akan menerima ataupun melaksanakan semua cadangan jawatankuasa berkenaan.
BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu menganjurkan perhimpunan besar-besaran membabitkan ribuan rakyat yang berarak sekitar Kuala Lumpur bagi menuntut pembaharuan pilihan raya. Menurut badan itu, adalah "sia-sia" membubarkan dewan Rakyat sebelum cadangan jawatankuasa khas itu dilaksanakan.