Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keadaan trafik di sepanjang lebuhraya sesak
Diterbitkan:  Sep 1, 2011 1:45 PM
Dikemaskini: 2:37 PM

Aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari kedua-dua arah utara dan selatan semakin sesak berikutan hari ini adalah hari terakhir cuti umum selepas bercuti selama tiga hari sempena Hari Raya Aidilfitri dan Hari Merdeka.

Petugas Pusat Kawalan PLUS, Juhaimi Harun, berkata keadaan trafik di sepanjang lebuhraya PLUS rata-ratanya bergerak amat perlahan terutama dari arah utara menuju ke Kuala Lumpur.

"Terutama sekali dari Changkat Jering ke Terowong Menora, Alor Star menuju ke Juru dan Simpang Pulai menuju ke Slim River," katanya  hari ini.

Beliau berkata, di kawasan ini, kesesakan adalah dari "bampar ke bampar" berikutan penambahan jumlah kenderaan di lebuhraya petang ini.

Sementara dari arah selatan, trafik dari Ayer Keroh menuju ke Senawang dan Senawang menuju ke Seremban dilaporkan sesak.

"Walau bagaimanapun tiada kemalangan dilaporkan berlaku di sepanjang lebuhraya," katanya.

Pagi tadi, jumlah kenderaan di semua laluan Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) mulai bertambah hari ini dan pengguna diingatkan supaya bersabar dan bertolak ansur ketika menuju ke destinasi masing-masing pada musim perayaan ini.

Petugas Pusat Kawalan Projek Lebuhraya Utara-Selatan berkata peningkatan jumlah kenderaan dapat dilihat hari ini namun keadaan masih lagi terkawal dan hanya menyebabkan beberapa laluan yang keadaan trafiknya bergerak perlahan.

toll booths smarttag and touch n go booths "Contohnya di Plaza Tol Juru menghala ke Kuala Lumpur yang kita dapati terdapat baris panjang sejak pagi tadi dan dijangka berlarutan hingga ke petang.

"Laluan lain terkawal dan pergerakan lancar walaupun jumlah pertambahan kenderaan meningkat. Pengguna perlu bersabar ketika terlibat dalam mana-mana kesesakan (jika ada)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya tiada kemalangan serius berlaku kecuali kemalangan kecil yang berlaku di KM62.9 Simpang Renggam ke Machap melibatkan tiga kenderaan pagi ini.

Dalam perkembangan berkaitan, 17 kematian jalan raya dicatatkan pada hari kesembilan Ops Sikap 24 semalam, menjadikan jumlah angka kematian 166 orang.

Menurut jurucakap trafik Bukit Aman, 14 kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal, dua melibatkan pengguna kereta dan satu pengguna motovan.

Beliau berkata jumlah kemalangan di seluruh negara semalam melibatkan 1,036 kes, dan sebanyak 4,832 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik atas pelbagai kesalahan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS