Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M bimbang ada pihak cuba pesong fakta sejarah
Diterbitkan:  Aug 30, 2011 10:07 PM
Dikemaskini: 2:12 PM

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bimbang dengan segelintir pihak yang cuba memesongkan fakta sejarah dengan memburuk-burukkan pemimpin yang telah berjuang untuk mencapai kemerdekaan.

mahathir kimma new office event 150708 03 "Terdapat satu trend sekarang ini memburuk-burukkan imej pemimpin yang telah berusaha untuk berjuang demi kemerdekaan negara.

"Saya khuatir trend ini berjalan begitu lancar dan apa yang dikatakan oleh Mat Sabu adalah sebahagian daripada usaha memburukkan pemimpin lama mungkin kerana kaitan mereka dengan Umno," katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata kerajaan harus memberi penerangan yang jelas tentang perjuangan pemimpin-pemimpin terdahulu dan tidak ada alasan yang mengatakan bahawa komunis yang memperjuangkan kemerdekaan negara.

"Komunis itu bukan berjuang untuk kemerdekaan, yang berjuang untuk kemerdekaan ialah Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan lain-lain yang  betul-betul berjuang supaya kita bebas daripada cengkaman penjajah.

"Dan hari ini kita hidup bahagia kerana perjuangan mereka dan tidak harus sesiapa memburukkan pemimpin lama kerana mereka yang memberikan nikmat kepada kita," katanya.

mingguan malaysia 280811 mat sabu dikecam Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein terkilan dengan kenyataan pemimpin tertinggi PAS itu yang menyentuh mengenai datuk beliau, Datuk Onn Jaafar yang merupakan pejuang kemerdekaan pada ketika itu.

Beliau berkata tindakan memesongkan sejarah ini merupakan politik cetek dan pembangkang cuba melakukan provokasi dalam politik.

Mengenai cadangan untuk meletakkan Mohamad Sabu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Hishammuddin berkata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar telah pun menyatakan undang-undang yang akan dikenakan terhadap Timbalan Presiden PAS itu, bergantung kepada siasatan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS