Desakan ahli jawatankuasa DAP Pulau Pinang Zulkifli Mohd Noor yang mahu PKR menyerahkan sekurang-kurangnya enam kerusi kepada pemimpin Melayu DAP tidak mencerminkan pandangan kepimpinan pusat parti itu, kata pengerusinya Karpal Singh.
Malah, menurut Karpal kenyataan itu tidak sepatutnya dikeluarkan dan tidak wajar.
"Kenyataan Zulkifli dibuat secara spontan yang tidak signifikan,” kata Karpal dalam satu kenyataan akhbar.
Sehubungan itu, Karpal juga memberi amaran kepada ahli-ahli DAP yang ingin bertanding pada pilihan raya umum akan datang supaya tidak menggunakan taktik yang boleh menyebabkan perpecahan dan syak wasangka di kalangan parti-parti komponen Pakatan Rakyat.
"Mana-mana kenyataan yang menyentuh isu-isu berkaitan dengan agihan kerusi pada pilihan raya yang akan datang, harus dan mesti, dikeluarkan oleh kepimpinan pusat DAP, PKR dan PAS serta bukan orang lain. Biarlah hakikat ini difahami, " katanya.
Menurut Karpal, DAP tidak akan merampas kerusi rakan-rakan parti komponen Pakatan Rakyat, meskipun ada kerusi yang terlepas akibat daripada tindakan membelot.
Katanya, meskipun PKR menerima kesan akibat paling tadah itu, namun sebahagian besar kempimpinan utama parti itu masih kekal utuh.
"DAP telah membenarkan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim untuk terus menjadi ketua pembangkang walaupun DAP kini mempunyai lebih banyak kerusi di Parlimen daripada PKR, selepas pembelotan beberapa ahli parlimen yang tidak mengenang budi itu.
"Bersama-sama dengan DAP, PKR dan PAS, Pakatan Rakyat berada dalam hala tuju yang betul ke Putrajaya."
Sabtu lalu, Zulkifli berkata DAP "tiada pilihan" tetapi memohon untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu kerusi parlimen dan lima kerusi dewan undangan negeri dari PKR di Pulau Pinang pada pilihan raya akan datang.
Dakwanya, sekiranya DAP gagal membariskan calon-calon Melayu pada pilihan raya akan datang, ia akan dilihat sebagai parti "anti-Melayu dan cauvinis".
"Beberapa pilihan raya, misalnya di Sarawak, telah menunjukkan, pengundi lebih cenderung menyokong DAP daripada PKR.
"Itulah sebab mengapa DAP perlu mengambil kesempatan ini untuk membariskan lebih ramai calon-calon Melayu," katanya pada sidang satu media.