Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Isu pengaliran keluar tenaga akademik daripada Universiti Malaya (UM) ekoran daripada dasar kenaikan pangkat yang terlalu ketat dan berkiblatkan bahasa Inggeris perlu diberi perhatian serius oleh Kementerian Pengajian Tinggi khususnya.

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) berasa terpanggil untuk memperkatakan isu ini kerana ada kaitannya dengan nasib bahasa Melayu yang menjadi salah satu tunjang perjuangan PENA.

131010 persatua penulis nasional pena logo PENA akan sentiasa mempertahankan bahasa Melayu yang telah diterima sebagai teras dalam sistem pendidikan kebangsaan dan dalam semua bentuk pelaksanaannya.

Sekiranya Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin tidak mahu melihat perkara sebenar dengan hanya mendengar penjelasan daripada sebelah pihak, nescaya masalah ini tidak akan selesai.

Amat malang kalau isu ini dianggap selesai dengan hanya mendengar penjelasan sebelah pihak sedangkan pihak yang lagi satu masih tidak berpuas hati, dan semakin ramai tenaga akademik berhijrah ke universiti atau organisasi lain.

Walaupun dikatakan oleh Naib Canselor Tan Sri Gauth Jasmon bahawa pihaknya mengiktiraf penerbitan bahasa Melayu terutama bagi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan penerbit universiti, penerbitan dalam jurnal bertaraf ISI masih menjadi keutamaan.

Difahamkan bahawa sesiapa sahaja yang memiliki penerbitan dalam jurnal bertaraf ISI dengan mudahnya akan disambung perkhidmatan walaupun namanya cuma tempelan pada makalah yang bukan hasil usahanya dan tidak pun berkaitan dengan bidangnya. Semua ini menjadi bahan ketawa dalam kalangan orang akademik.

Sumbangan belum tentu

Orang luar, terutamanya dari negara dunia ketiga juga, dengan mudahnya dapat menjadi warga UM seandainya mereka mempunyai penerbitan dalam kelas yang sama, sedangkan sumbangan mereka sebagai pensyarah dan pemberi ilmu belum tentu lagi.

Pensyarah anak tempatan yang sudah terbukti mempunyai kepakaran yang sesuai dan berfungsi dengan lebih baik sebagai pensyarah tetapi tidak mempunyai penerbitan ISI akan diancam oleh sindrom jumud pangkat.

bridget welsh penang lecture 140810 audience Maka tidak hairanlah ramai yang telah bertindak keluar dari UM dan mencari nasib di universiti lain.

Malahan difahamkan ada juga pensyarah yang sudah mendapat tempat di universiti lain tetapi tidak memperoleh keizinan daripada UM. Jika dicampurkan bilangan yang tersekat ini nescaya angka itu akan meningkat.

Walaupun dikatakan berlaku kesilapan dari segi angka bilangan pensyarah yang menamatkan perkhidmatan di UM, perkara pokoknya tetap wujud, yakni mereka sudah putus asa dengan nasib di tangan pentadbir UM sekarang.

Syarat itu memperlihatkan seolah-olah penerbitan dalam bahasa Melayu yang lebih bermanfaat kepada pengajian tentang negara ini tidak ada nilainya. Bukankah isi lebih penting daripada bahasa?

Dalam dunia akademia telah banyak sarjana atau penuntut asing yang merujuk kepada bahan terbitan dalam bahasa Melayu untuk membuat penyelidikan yang berkaitan dengan Malaysia, terutamanya dalam bidang sains sosial atau ilmu kemanusiaan.

Di School of Oriental and African Studies, Universiti of London; di Goethe University, Frankfurt; di Berkeley University; di Australian National University, Australia; di Universiti of Beijing; dan sebagainya, pengajian tentang dunia Melayu dilakukan dengan merujuk kepada buku dalam bahasa Melayu.

Sistem kacau bilau

Keperluan terhadap ilmu dan maklumat akan menyebabkan orang luar mempelajari bahasa Melayu. Begitulah akhirnya bahasa Melayu berkembang.

Sekiranya semua maklumat didedahkan bahasa Inggeris, siapakah yang mahu mempelajari bahasa Melayu lagi? Akhirnya bahasa Melayu akan terpinggir dan terperosok di sudut-sudut yang hina.

azlan Wajar difahami bahawa kenaikan rankin g (penarafan) UM tidak membawa maksud bahawa kualiti pendidikannya juga meningkat.

Kenaikan penarafan (jika benar naik sekalipun) yang disokong oleh angka jumlah penerbitan ISI, jumlah tenaga pengajar luar (yang entah apa manfaatnya), dan jumlah pelajar asing hanyalah berupa "penarafan palsu".

Kualiti sebenar terletak pada penyelidikannya, mutu penerbitannya, kurikulumnya, asas penilaiannya, dan kebebasan akademiknya, bukannya pada angka yang tiada makna.

Tidakkah pelik bagi sebuah universiti tertua yang digelar sebagai universiti perdana hanya mahu bergembira dan berseronok dengan penarafan sedangkan mutu sebenarnya terus merosot.

Umpama sebuah istana, kemegahannya tidak bermakna jika anai-anai sahaja yang mendiaminya.

Seorang profesor di Goethe University, Frankfurt, berkata, mereka tidak peduli pun tentang ranking . Oleh itu, kembalikan kegemilangan UM dengan asas penilaian yang benar, bukan asas yang palsu. Jangan biarkan UM diporak-perandakan oleh sistem yang kacau bilau.

Kembalikan semangat bekerja pensyarahnya dan berikan tempat yang sewajarnya kepada bahasa Melayu tanpa meminggirkan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain yang dominan.


Syed Mohd Zakir Syed Othman merupakan Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS