Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) mengenai penambahbaikan pilihan raya tidak akan membawa sebarang erti sekiranya pilihan raya umum dilangsungkan dan jawatankuasa itu kemudiannya dibubarkan.
BERSIH 2.0 hari ini menyatakan kekecewaannya atas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa pilih raya umum boleh diadakan bila-bila masa dan tidak terikat dengan keputusan PSC.
"Ini menyalahi tujuan dan semangat pembentukan PSC yang mana ia bermaksud menyelesaikan amalan pincang yang serius dalam proses pilihan raya.
"PSC akan menjadi tidak bermakna sekiranya parlimen dibubarkan sebelum sempat membentangkan laporannya kepada parlimen," kata kenyataan bersama jawatankuasa pemandu BERSIH.
BERSIH menegaskan tuntutan bahawa pilihan raya tidak ditangguh melainkan cadangan tindakan segera seperti berkaitan pembersihan daftar pemilih, penggunaan dakwat kekal dan pendaftaran automatik dilaksanakan.
BERSIH juga berkata menjadi keutamaan PSC menjadi suruhanjaya diraja bagi mengkaji isu yang lebih besar berkenaan pilihan raya dan demokrasi seperti sistemnya, pertimbangan menyeluruh undang-undang pilihan raya dan keanggotaan dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
[Baca berita penuh]