Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Sepatutnya bersih p'raya, bukan upah PR asing'
Diterbitkan:  Aug 20, 2011 1:57 PM
Dikemaskini: 1:52 PM

Malaysia mungkin menikmati urus tadbir lebih baik sekiranya wang untuk mengupah syarikat perhubungan awam asing diguna untuk membersihkan sistem pilihan raya dan memperkenalkan usaha antirasuah lebih cepat.

Setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, urus tadbir yang baik juga boleh dicapai dengan memperkasa komuniti ekonomi kurang terbela dan melabur dalam infrastruktur awam yang mapan.

ngo pro selangor government rally 230111 faekah "Sekiranya kerajaan persekutuan memerlukan bantuan, nasihat, contoh atau semua di atas dengan berhubung perbelanjaan dana awam dengan cara yang lebih cekap serta memberi manfaat kepada rakyat, kerajaan negeri Selangor dengan senang hati sedia berkongsi kepakarannya," kata Faekah Husin ( kiri ).

Sebagai respons kepada dakwaan kerajaan mengupah FBC media limited Britain untuk menggilap imejnya, Faekah berkata, pihaknya terkejut kerana wang pembayar cukai dibelanjakan dalam jumlah yang banyak "semata-mata untuk menaikkan imej perdana menteri dan kerajaan" yang didakwa tercalar teruk.

Ia antaranya disebabkan cara kerajaan mengendalikan perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu, selain tuduhan-tuduhan rasuah dan ketidakcekapan pentadbiran yang kini mencapai tahap paling rendah, tambahnya.

Stesen penyiaran antarabangsa BBC pada 17 Ogos lalu dilaporkan mengakui menyiarkan rancangan yang diterbit FBC yang diupah kerajaan Malaysia kepada jutaan penonton di seluruh dunia.

Bagaimanapun semua rancangan yang dibekalkan oleh syarikat perhubungan awam yang berpangkalan di London itu telah digantung.

Sejak 2009, syarikat itu telah menerbitkan sekurang-kurangnya empat dokumentari mengenai Malaysia.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS