Pengundi yang didakwa sebagai ‘klon’ ahli Umno yang didedahkan oleh Pemuda PAS baru-baru ini tampil menafikan bahawa mereka mempunyai lebih daripada satu keahlian dalam parti itu.
Akhbar harian berbahasa Melayu, Sinar Harian hari ini menyiarkan beberapa artikel setelah berjaya menjejaki enam individu yang didakwa diklon itu yang nyata tidak berpuas hati bahawa butiran peribadi mereka didedahkan tanpa pengetahuan mereka.
Akhbar tabloid itu berjaya mengesan enam daripada mereka yang mana dua telah membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dan bercadang mengheret parti itu ke mahkamah.
"Ya Allah, sampai hati depa (mereka) guna nama saya. Saya tuntut depa minta maaf kerana buat fitnah terhadap saya pada bulan Ramadan,” kata seorang daripada dua ahli Umno yang bernama Besah binti Mat dari Jejawi Batas di Kangar, Perlis, yang dipetik tabloid itu.
Anak perempuan kepada Besah dari Kg Telaga Hj Latiff, - sebuah kawasan di Arau, Perlis - berkata ibunya tinggal di situ sejak kecil dan tidak pernah berpindah ke tempat lain.
Justeru, tidak timbul soal nama ibunya itu ada dalam daftar pengundi di tempat lain dan mengundi dua kali.
Isnin lalu, ketua pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat ( kiri ) mendakwa parti itu berjaya mengesan tiga nama yang didaftarkan di dua lokasi berbeza - Azahar bin Ahmad, Besah binti Mat dan Mansor bin Ahmad.
Dua Mansor itu - seorang peneroka Felda manakala seorang lagi pesara, tampil bersama dan membuat laporan polis masing-masing di balai polis Changlun semalam ke atas Suhaizan yang didakwa memfitnah mereka.
Pasangan itu berkata mereka tinggal di kampung masing-masing selama sekurang-kurangnya tiga dekad yang lalu.
“Mereka mendakwa saya mempunyai dua kad pengenalan, ini adalah fitnah dan jika benar saya sudah melanggar undang-undang negara.
“Tindakan PAS ini menunjukkan seolah-olah mereka hanya tahu mencari salah orang tanpa menyelidik dan saya akan mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara ini,” katanya dipetik Sinar Harian .
Akhbar itu juga berjaya mengesan sekurang-kurangnya dua individu yang bernama Azhar, seorang daripada mereka masih menetap di Perlis manakala seorang lagi telah berpindah ke Pahang 13 tahun yang lalu.
Azhar yang dikesan di Perlis itu juga menafikan beliau pernah terbabit dalam pengundian dua kali .
“Tidak! Saya tidak pernah mengundi dua kali seperti didakwa. Sejak daftar saya tak pernah mengundi di tempat lain. Cuma pernah bertugas jaga Peti Undi Kilang Gula semasa akti dalam Pemuda Umno dulu,” katanya dipetik akhbar itu.