Reaksi spontan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk 'membersihkan' daftar pemilih selepas kesilapan mengenainya dilaporkan oleh pihak media, telah menimbulkan persoalan sama ada daftar pemilih boleh dipinda begitu saja oleh suruhanjaya tersebut.
Sejak dua minggu lalu, orang ramai dan pihak pembangkang telah membangkitkan pelbagai kelemahan dalam daftar pemilih, termasuk pengundi dengan dua identiti, pengundi tersilap nama 'Kg Baru' dan pengundi dengan nombor MyKad yang tidak wujud.
Setiapkali kesilapan tersebut didedahkan, SPR terus memperbetulkannya, sama ada dengan menukar butiran pengundi berkaitan atau memotong nama mereka daripada daftar pemilih.
Ini adalah berbeza sama sekali dengan kenyataan awal oleh timbalan pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar bahawa data dalam daftar pemilih tidak boleh hanya boleh ditukar sesuka hati.
Bagaimanapun, pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, 'pembersihan' daftar pemilih dilakukan setiap hari, berdasarkan maklumat harian rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui sistem sambungan di talian (Alis) antara kedua badan berkenaan.
Setakat ini, SPR masih belum menjelaskan keadaan yang membenarkan pesuruhjayanya membuat perubahan kepada daftar pemilih tanpa berunding dengan pengundi terlibat atau mengadakan siasatan awam.
Menurut ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat, mengikut klausa 14 peraturan (perjalanan) pilihan raya 1981, daftar pemilih merupakan bukti paling kuat untuk menentukan sama ada seseorang individu itu adalah pengundi atau tidak.
Oleh itu, katanya, butiran pengundi dalam daftar pemilih tidak boleh diubah dengan mudah.
"Apakah prosedur operasi lazim (SOP) untuk mengubah daftar pemilih? SPR mesti menentukannya dengan jelas," katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam isu yang sama, gerakan reformasi pilihan raya Bersih 2.0 berkata ia sedang menimbang untuk mengheret SPR ke mahkamah.
[Baca berita penuh]