Isu murtad dan proses Kristianisasi yang dipelopori oleh media arus perdana milik Umno-BN adalah sekadar untuk dipolitikkan menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat supaya tidak mempercayai propaganda Umno pada masa ini yang kononnya menampakkan kumpulan tersebut membela Islam.
“Jadi tak perlulah percaya dengan provokasi media Umno pada masa ini yang begitu agresif memainkan isu gereja dan murtad. Kenapa setelah puluhan ribu dilaporkan murtad sepanjang Umno/ BN berkuasa baru sekarang tiba-tiba melenting?
“Saya masih ingat dulu saya telah berceramah tentang ada orang Melayu yang dikristiankan dan saya dedahkan ada paderi berbangsa Melayu, tapi selepas itu saya yang kena ISA,” katanya yang dipetik oleh Harakahdaily .
Sejak kontroversi serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu yang dikaitkan dengan laporan murtad, rakyat saban hari disajikan dengan ledakan pelbagai bukti oleh media dan blog-blog pro-Umno.
Rabu lalu, satu laporan yang didakwa ditulis oleh seorang pegawai kanan JAIS berhubung pemeriksaan di premis gereja itu telah disebarkan di internet mankala klip video berhubung kejadian berkenaan juga telah dimuat-naikkan.
Meskipun laporan rasmi belum dikemukakan kepda Sultan Selangor dan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, namun nama penuh dan kad pengenalan 12 orang Islam yang dikatakan hadir di majlis makan malam itu juga telah disenaraikan.
Begitu juga dengan bukti-bukti lain termasuklah kertas soal-selidik dan jumlah wang yang dibekalkan, dan lagu-lagu yang didakwa dinyanyikan pada malam berkenaan.
Bagi pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, lebih mencurigakan tindakan itu disusuli dengan demonstrasi yang dilakukan oleh Senator Umno Mohamad Ezam Mohd Nor yang diadakan di masjid negeri dengan membuat kecaman kepada kerajaan Selangor, termasuk membawa penyapu tandas, mangkuk tandas untuk dihantar ke pejabat menteri besar.
“Anehnya, mereka ini dikatakan menentang proses Kristianisasi yang dilakukan pihak gereja, bukankah ia sepatutnya demonstrasi dibuat di hadapan gereja?” soal Tuan Ibrahim dalam kenytaan medianya semalam.
Bagi pemimpin PAS, tindakan itu hanya menguatkan lagi perasaan curiga mereka bahawa dakwaan usaha pengkristianan di negara ini sebenarnya didalangi oleh Umno sebagai modal politik.
Mengulas isu itu, Mohamad Sabu semasa merasmikan Konvensyen Pilihan Raya PAS Pahang di Darul Amin, Sungai Gau, Temerloh semalam berkata pergantungan Umno sekarang hanyalah kepada orang Melayu setelah mereka tidak yakin lagi untuk meraih majoriti undi bukan Melayu sebab itulah mereka mainkan isu agama dan perkauman.
“Saya kalau nak beritahu, Umno kalau betul-betul nak jaga Islam mereka tak tukar cuti hari Jumaat kepada hari Ahad seperti yang berlaku di Johor dan Perlis,” katanya.