Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Deretan saman yang dikemukakan peneroka Lembaga Kemajuan  Tanah Persekutuan (Felda) berhubung dakwaan berlaku penipuan dan pecah amanah boleh menjejaskan reputasi  agensi tanah berkenaan, kata Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK).

NONE Sehubungan itu, presidennya, Mazlan Aliman berkata Felda sepatutnya membuka pintu rundingan untuk menyelesaikan tuntutan peneroka.

"Ini saat (saya lihat) satu gelombang besar peneroka mengemukakan banyak saman (kepada Felda)

"Deretan saman akan menjadi satu perkara yang menjejaskan reputasi Felda, sebuah agensi pembangunan tanah terbesar di dunia.

"Felda seperti tidak bersedia, serius untuk berbincang... Untuk menyemak tuntutan peneroka... Saya fikir ia tidak terlalu sukar untuk dipenuhi," katanya dalam satu sidang media di ibu negara pagi ini.

Menurut Mazlan, barisan peguam ANAK seramai 15 orang kini "tidak dapat menahan keghairahan peneroka untuk menyaman Felda".

Peguam-peguam NGO itu sedang mengendalikan sekurang-kurangnya 15 kes tuntutan saman yang antaranya membabitkan rasa tidak puas hati mengenai mengenai kadar perahan minyak, wang tanaman semula dan kes penyingkiran peneroka.

"Jumlahnya (peneroka) lebih daripada 1,000 orang bagi setiap kes untuk ditangani," katanya.

Felda Sejak kebelakangan ini, Felda berdepan dengan pelbagai saman dari peneroka dari seluruh negara. Ia termasuk di Pahang, Kelantan, Johor dan Negeri Sembilan.

Dengan nada kesal, Mazlan yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata kerajaan sepatutnya tidak "bermusuh dengan rakyat".

"Felda dan kerajaan tidak pro-rakyat, seolah-olah kerajaan mahu bermusuh dengan rakyat.

"Saya rasa ia tidak positif... Apa salahnya membuka pintu perundingan daripada kes ini berlarutan di mahkamah," katanya.

Menurutnya, sehingga sekarang, dialog dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan turut gagal bagi membincangkan masalah Felda.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS