Datuk Seri Najib Razak menyeru rakyat Malaysia beragama Islam supaya menghayati kandungan Kitab Suci Al-Qur'an yang kini boleh dilakukan dengan mudah menggunakan aplikasi di dalam telefon pintar.
Perdana Menteri berkata demikian dalam kemaskini status Facebooknya hari ini sempena Nuzul Qur'an yang jatuhnya pada setiap hari ke-17 bulan Ramadan.
Menurut beliau, Al-Quran bukan sekadar memberi pedoman ibadah tetapi juga boleh menjadi petunjuk pelbagai bidang kehidupan manusia seharian merentasi zaman.
"Sempena Nuzul Al-Quran 17 Ramadan ini, saya harap rakyat Malaysia beragama Islam mengambil peluang menghayati kandungan kitab suci ini.
"Lebih-lebih lagi di zaman teknologi maklumat (IT), kemudahan seperti internet dan aplikasi telefon pintar mampu mempermudahkan penghayatan Al-Quran," katanya.
Umat Islam di Kelantan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu hari ini bercuti umum menyambut peristiwa agung dalam sejarah Islam iaitu hari turunnya Al-Quran.
Pilih pakaian rasmi
Sementara itu, di Putrajaya hari ini, Najib memilih sepasang pakaian rasmi sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 yang ditunda ke 16 Sept, serentak dengan sambutan Hari Malaysia, tahun ini.
Pakaian yang dipilih itu, masing-masing satu bagi pakaian lelaki dan wanita, adalah dari tiga rekaan pakaian lelaki dan wanita oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia yang diperagakan kepada perdana menteri.
Antara yang turut menyaksikan rekaan itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim, beberapa anggota jemaah menteri dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Rais yang ditemui pemberita kemudian berkata perdana menteri tertarik dengan ketiga-tiga corak rekaan berkenaan yang menggabungkan warna asas negara iaitu merah, putih dan biru, cuma ia perlu disesuaikan dengan suasana sambutan hari bersejarah itu.
Beliau berharap pakaian yang akan dipakai oleh jemaah menteri itu akan menarik minat orang ramai untuk membelinya selepas 16 Sept kelak.
- Bernama