Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penghapusan AP rangsang perniagaan francais kereta
Diterbitkan:  Aug 16, 2011 5:42 PM
Dikemaskini: 9:45 AM

Naza Group of Companies percaya cadangan menghapuskan Permit Import (AP) terbuka menjelang 2015 akan merangsang perniagaan francais kereta tempatan selanjutnya melalui penghantaran lebih banyak kereta asing premium ke Malaysia.

ap aproved permits imported cars Ketua pegawai eksekutifnya, Datuk SM Zulkifli SM Amin, berkata ia akan membuka pasaran dan seterusnya membolehkan lebih banyak kereta dibawa masuk ke negara ini tanpa sekatan.

"Ini juga membolehkan segmen ini memberikan sumbangan besar ke arah pembinaan negara," katanya selepas prebiu model empat tempat duduk pertama Ferrari, Ferrari FF, di Petaling Jaya hari ini.

Namun demikian, katanya, membawa masuk lebih banyak kereta tidak menjamin jualan yang lebih tinggi kerana cukai yang tinggi yang dikenakan oleh kerajaan pada masa ini akan membebankan bakal pembeli.

"Banyak pembeli kini memilih untuk membeli kereta premium dari Singapura kerana cukai yang dikenakan di negara itu lebih rendah," katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, Naza mendapat peruntukan 21 kereta Ferrari bagi tahun ini daripada pembuatnya di Maranello, Itali dan 15 sudah diserahkan.

"Ferrari 458 Italia terus menjadi penyumbang utama bagi tahun ini, " kata Zulkifli.

Bagi tahun depan, beliau menjangka dapat membawa masuk 27 kereta Ferrari ke Malaysia.

Ferrari FF, yang dianggarkan bernilai RM2.8 juta, dijangka mula dihantar pada Januari 2012.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS