Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu kerakyatan: PAS mahu k'jaan buat siasatan awam

PAS mahu kerajaan membuat siasatan awam untuk membolehkan rakyat tampil memberi bukti berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dan pemalsuan dalam isu pemberian taraf kerakyatan kepada warga asing.

"Ini kerana kita anggap ia satu perkara yang menggugat dan mengancam keselamatan negara.

Menurutnya, jika tuntutan tersebut tidak dipenuhi, mereka tidak akan teragak-agak untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk meminta supaya ditubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dakwaan tersebut.

"Kalau orang luar, orang asing tidak faham (mengenai) negara, jiwa mereka tidak sama dengan jiwa kita, (bagaimana) boleh menentukan hala tuju politik (negara)," kata naib presiden PAS, Salahudin Ayub dalam satu sidang akhbar hari ini.

Sebaliknya, katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi maklum balas dengan mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas parlimen bagi mengkaji cadangan mengadakan reformasi dalam sistem pilihan raya.

Semalam Najib dilaporkan berkata penubuhan jawatankuasa itu dalam masa terdekat dan bakal dianggotai wakil daripada parti kerajaan dan pembangkang.

"Kita mempertegaskan kepada perdana menteri, jangan lari daripada tajuk asal, perkara asas (iaitu) apa yang berlaku adalah satu pengkhianatan dan penyelewangan urus tadbir pendaftaran permohonan penduduk tetap.

"Kita tidak boleh berkompromi. PM mesti panggil sidang parlimen khas, tempat bagi kami untuk bincang isu ini. Bukan ambil tindakan menubuhkan jawatankuasa khas parlimen," katanya yang juga ahli parlimen Kubang Kerian.

Minggu lalu, Pakatan menyerahkan surat menggesa diadakan sidang khas parlimen, kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz untuk disampaikan kepada Najib dan Pakatan memberi tempoh seminggu untuk dijawab

Salahudin berkata, tempoh seminggu itu tamat semalam, mereka tidak menerima sebarang jawapan dari perdana menteri.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah beberapa pemimpin ahli parlimen Pakatan, antaranya setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali; naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan naib presiden DAP, Tan Kok Wai.

Mengulas lanjut, Salahudin mendakwa cadangan Najib yang juga presiden Umno untuk menubuhkan jawatankuasa tersebut adalah "satu dalih dan tidak memadai" dengan apa yang dibangkitkan Pakatan.

Dalam sidang media itu, Salahudin kesal dengan cadangan Najib menubuhkan jawatankuasa khas itu yang didakwanya "begitu tergopoh gapah" sedangkan ia tidak dirunding dengan parti pembangkang.

"Kita tidak dihubungi, tidak ada perundingan langsung (tentang) apa bentuk dan jenis jawatankuasa  tersebut.

"Pada peringkat ini, kita (mahu) lihat dahulu terma rujukan... siapa yang mengetuainya. Tidak guna juga, jika dalam budaya parlimen di Malaysia, pihak kerajaan mengetuai dan kita jadi minoriti," katanya.

Sementara itu, Tan pula berkata, cadangan penubuhan jawatankuasa itu, perlu terlebih dahulu dibentangkan oleh menteri, di Dewan Rakyat berdasarkan kepada Perkara 81 hingga 84 peraturan tetap mesyuarat Parlimen.

"(Ia) untuk membincangkan persediaan, terma rujukan, komposisi mesti dipersetujui sebelum sidang khas parlimen ini," katanya.

Beliau juga berkata, Najib juga tidak memberi jaminan pilihan raya umum tidak akan diadakan sehingga selesai tugas jawatankuasa tersebut.

"Jadi, tak guna bersetuju jawatankuasa ini ditubuhkan, (jika) kita bersetuju, kemudian dia (Najib) tak beritahu tarikh pilihan raya, jadi apa maknanya jawatankuasa pilihan ini," katanya sambil menambah, pihaknya sedia berbincang walaupun tidak dijemput.

 

 

 

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS