Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
12 umat Islam dalam gereja beri keterangan di JAIS
Diterbitkan:  Aug 15, 2011 6:23 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

Seramai 12 umat Islam, yang berada dalam sebuah gereja di Damansara Utama ketika pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) baru-baru, tampil memberi keterangan dan menerima kaunseling di pejabat jabatan itu di Bangunan Sultan Idris Shah di Shah Alam, hari ini.

Seramai tiga lelaki dan sembilan wanita yang berusia antara 20-an dan 40-an dilihat tiba secara berperingkat mulai 9.15 pagi hingga 1 petang.

Turut kelihatan berada di Bilik Mesyuarat, tempat keterangan itu diambil, ialah Pengarah JAIS Marzuki Hussin dan Timbalan Mufti Negeri Selangor Datuk Abdul Majid Omar.

Menurut sumber, mereka diberi kaunseling secara kumpulan kecil antara dua dan tiga orang oleh beberapa pegawai Jais dan Jabatan Mufti Selangor.

Bernama difahamkan bahawa proses mengambil keterangan dan diberi kaunseling itu akan berakhir lewat petang ini.

JAIS memanggil semua 12 individu itu memberi keterangan hari ini selepas mereka gagal berbuat demikian pada 9 Ogos lalu.

"Sebahagian daripada mereka hadir dengan ditemani peguam masing-masing," kata sumber itu.

Maklumat lanjut mengenai proses memberi keterangan dan kaunseling gagal diperoleh daripada Marzuki yang enggan bertemu pihak media dan tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya.

Malah, seorang petugas JAIS meminta pihak media yang menunggu di Tingkat 6 bangunan itu supaya beredar.

Pihak media yang kemudiannya menunggu pula di kawasan pejabat Marzuki turut diminta oleh pengawal keselamatan untuk beredar setelah menerima arahan daripada 'pihak atasan'.

Pada 3 Ogos lalu, JAIS melakukan pemeriksaan di  Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya selepas menerima maklumat kehadiran beberapa orang Islam ke sebuah majlis kesyukuran yang dianjurkan di gereja berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS