Jabatan Penerangan Kelantan akan memperkenalkan gerakan 'Skuad Sentuhan Sayang Rakyat' dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat mengenai dasar dan menjawab dakwaan parti pembangkang.
Pengarahnya Ramli Yusoff berkata gerakan yang melibatkan pemimpin bersama rakyat itu akan masuk ke kawasan yang berisiko tinggi terpengaruh dakyah pembangkang dan akan melakukan pendekatan secara berhemah.
"Ini juga sesuai dengan slogan yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu 'Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan'," katanya kepada Bernama di Kota Bharu hari ini.
Beliau berkata menerusi pendekatan itu, pemimpin kerajaan akan turun padang dan menemui rakyat secara berdepan tanpa melalui protokol yang menyusahkan mereka di pejabat secara rasmi.
"Inilah suatu perubahan yang cuba dilakukan oleh pemimpin kerajaan hari ini sebagai kaedah untuk menarik sokongan rakyat dan menyedarkan mereka dalam memahami dasar kerajaan dan menjawab segala dakyah pembangkang," katanya.
Justeru, pelbagai program mendekati rakyat dilaksanakan termasuk 'Makan Colek 1Malaysia' yang melibatkan peserta daripada pelbagai kaum.
Ramli berkata daripada 10 jajahan, setakat ini hanya tiga belum dijelajahi iaitu, Jeli, Kuala Krai dan Tanah Merah.
- Bernama